EKONOMI > BERITA

MITI Sasar Umum Kerangka Insentif Pelaburan Baharu Seawal Suku Pertama 2025

21/10/2024 03:07 PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang menyiapkan Kerangka Insentif Pelaburan Baharu yang disasar diumumkan seawal Suku Pertama 2025.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kerangka berkenaan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2025 pada minggu lepas.

"Kita akan perincikan dan kerja sebenarnya sudah bermula. Kita akan membentangkan detail (butiran terperinci) dalam Majlis Pelaburan Negara yang terdekat ini, iaitu bulan Disember," katanya kepada pemberita selepas membentangkan Kad Laporan MITI bagi Suku Ketiga 2024, di sini, pada Isnin.

Beliau berkata usaha itu juga untuk mempersiapkan Malaysia menghadapi Cukai Minimum Global yang akan diperkenalkan tahun depan.

"Cukai ini jumlahnya lebih kurang 15 peratus, oleh itu kita tidak boleh lagi menarik pelaburan dan mengatakan kita akan bagi pengecualian cukai sehingga kosong peratus.

"So, kita kena ada insentif lain yang fokus kepada bakat, fokus kepada hijau (pemeliharaan alam sekitar) jadi pada dasarnya ia adalah cara baharu menyediakan insentif yang tidak lagi diberi secara pukal, (dan) lebih bersasar kepada industri yang betul-betul dapat membantu meningkatkan nilai ekonomi negara," katanya.

Kerangka insentif pelaburan tersebut termasuklah dana pelaburan strategik bernilai RM1 billion sebagai usaha meningkatkan kapasiti bakat tempatan dan menggalakkan aktiviti bernilai tinggi dilaksanakan di negara ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan