EKONOMI > BERITA

The Ascott, Instant Icon Bangunkan Kondominium Mewah Di Batu Ferringhi

21/10/2024 08:44 PM

GEORGE TOWN, 21 Okt (Bernama) -- Pemaju hartanah dan penginapan Singapura The Ascott Ltd menjalin kerjasama dengan pemaju Malaysia Instant Icon Sdn Bhd bagi membangunkan Ascott Residences Batu Ferringhi Penang yang akan didiami mulai Januari 2028.

Pengurus Besar Ascott bagi Malaysia Mondi Mecja berkata pembangunan baharu merangkumi 99 unit kediaman itu dijangka menjadi penanda aras baharu dalam pasaran kehidupan mewah Pulau Pinang dengan tumpuan khusus didiami oleh pemilik.

“Kami sedang meningkatkan portfolio syarikat dengan kediaman jenama premium di Pulau Pinang, sekali gus memaparkan komitmen Ascott menawarkan penginapan berkualiti mengikut pelbagai tujuan seiring dengan model perniagaan hotel dalam kediaman hibrid yang fleksibel.

“Terletak di sepanjang pesisiran pantai indah di salah satu kawasan kediaman berprestij di Tanjung Bungah dan destinasi peranginan popular Batu Ferringhi, Ascott Residences Batu Ferringhi Penang menawarkan pemandangan laut tanpa halangan dengan akses terus ke pantai,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian perjanjian itu di sini, hari ini.

Mecja berkata pembangunan itu menampilkan pilihan tempat tinggal berkeluasan 2,000 hingga 4,000 kaki persegi selain penthouse atau emper lebih 8,000 kaki persegi.

Ciri lain adalah kemudahan ‘concierge’ atau sokongan yang menawarkan perkhidmatan khusus selain pelbagai kemudahan premium untuk tujuan santai dan bersosial.

“Kami berbesar hati dengan kepercayaan berterusan diberikan oleh pemilik dan yakin lokasi serta reka bentuk ‘Ascott Residences Batu Ferringhi Penang ini dapat melonjakkan lagi jenama Ascott dalam ruang kehidupan mewah," kata Mecja.

Ascott giat mengembangkan kehadirannya di Malaysia sejak 25 tahun lepas menerusi pendekatan aset dan bertapak di 12 bandar.

Kehadirannya yang paling ketara adalah di Pulau Pinang dengan mengendalikan 11 hartanah selain empat lagi dalam perancangan, termasuk Ascott Residences Batu Ferringhi Penang.

 Pengarah Urusan Kumpulan Instant Icon Datuk Yeoh Yih Sean berkata tambahan inovatif itu akan meningkatkan landskap kehidupan mewah Pulau Pinang dan menepati permintaan penginapan premium yang semakin ketara.

“Kami gembira dapat meneruskan kerjasama dengan Ascott susulan kejayaan penginapan Lyf Georgetown Penang yang juga hartanah pertama di pulau itu. Selain itu, kami juga teruja untuk memperkenalkan satu lagi pencapaian, penginapan serba baharu di bawah jenama Ascott yang berprestij,” katanya.

Yeoh berkata kerjasama dengan Ascott juga merupakan paparan komitmen bersama dalam memberi pengalaman penginapan, malah kediaman baharu itu dapat mengukuhkan kehadiran syarikat dalam pasaran hospitaliti Pulau Pinang.

Syarikat itu akan terus meninjau peluang pertumbuhan dan kekal gigih dalam menyediakan pilihan kediaman berkualiti dan pelbagai mengikut gaya hidup moden.

The Ascott adalah unit perniagaan milik penuh pengurusan hartanah global CapitaLand Investment Ltd.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan