EKONOMI > BERITA

Peruntukan Untuk Giat Semula Penanaman Getah Dorong Pertumbuhan Industri Sarung Tangan

22/10/2024 11:52 AM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Peruntukan kerajaan sebanyak RM20 juta untuk mengusahakan semula ladang getah milik persendirian yang terbiar dan RM60 juta bagi pengeluaran lateks di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) adalah langkah penting ke hadapan untuk menyokong pertumbuhan dan kemampanan industri sarung tangan getah.

Presiden Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Oon Kim Hung berkata inisiatif itu dijangka mengukuhkan pengeluaran lateks, memastikan bekalan bahan mentah yang lebih stabil bagi pengeluar sarung tangan getah.

“Secara keseluruhan, Belanjawan 2025 adalah langkah positif dan progresif untuk industri dan negara. Peruntukan RM1 bilion untuk pembiayaan teknologi hijau pula menyerlahkan komitmen kerajaan terhadap pembangunan mampan dan perlindungan alam sekitar iaitu bidang utama yang sedang giat dimajukan oleh penggiat industri kami,” katanya kepada Bernama.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Jumaat mengumumkan pelaksanaan Program Galakan Pengeluaran Lateks Pekebun Kecil di bawah RISDA yang akan dilaksanakan secara geran padanan sebanyak RM60 juta.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata langkah itu sebagai galakan pekebun kecil getah menghasilkan getah lateks.

Perdana Menteri berkata ladang getah milik persendirian yang terbiar pula akan diusahakan semula dengan peruntukan RM20 juta.

Beliau berkata ikhtiar ini dilaksanakan melalui pendekatan pajakan tanah, iaitu tanah terbiar akan dipajak untuk diusahakan semula dan keuntungan dibahagikan mengikut persetujuan antara pekebun kecil, agensi pelaksana serta pemilik tanah.

Sementara itu, Oon berkata, kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 daripada RM1,500 berkuat kuasa 1 Feb 2025 akan memberi manfaat kepada pekerja dan ekonomi.

“Kami menyokong sepenuhnya inisiatif ini dan komited untuk memacu produktiviti di samping memastikan struktur gaji yang adil dan saksama untuk semua,” katanya.

 -- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan