EKONOMI > BERITA

Laksanakan Analisis Faedah Kos Bagi Penyasaran Subsidi - Rafidah

22/10/2024 02:44 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama)-- Tan Sri Rafidah Aziz menyarankan agar penyasaran subsidi yang bakal dilaksanakan pada tahun depan diperhalusi, termasuk melaksanakan analisis faedah kos bagi memastikan setiap perancangan dapat memberi manfaat kepada rakyat. 

Mantan menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu berkata ini juga penting supaya golongan rakyat berhak menerima subsidi yang diperuntukkan secara saksama. 

“Pelaksanaan itu kena betul-betul bersasar dengan tepat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku bertajuk “Fathers and Their Wisdom” sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas berkenaan pelaksanaan penyasaran subsidi yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan MADANI Ketiga 2025 pada 18 Oktober lepas.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata setiap penyasaran adalah untuk membetulkan ketempangan amalan subsidi pukal yang memberi manfaat kepada kelompok elit maha kaya dan warga asing.

Dalam pada itu, Rafidah menekankan pelaksanaan sistem pemantauan perbelanjaan belanjawan secara berkala di setiap peringkat tata urus kerajaan daripada peringkat daerah, kerajaan tempatan hingga ke kementerian bagi memastikan tiada penyelewengan atau rasuah berlaku. 

Beliau juga mengingatkan agar setiap agensi dan badan membelanjakan peruntukan diterima dengan sebaik mungkin.

“Jangan kita permainkan duit rakyat ini dan elak bermewah. Adalah penting agar setiap ringgit dibelanjakan dengan apa yang ditentukan dan dirancang,” katanya. 

Rafidah juga berharap golongan atasan atau kaya tidak ditekan dengan pelaksanaan cukai baharu yang membebankan kerana mereka turut menyumbang kepada pendapatan negara. 

“Jangan pandang dari segi duit, tetapi nilai tambah pada setiap entiti perniagaan yang ada,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan