EKONOMI > BERITA

SDEC, CENTEXS Dan Angkasa-X Bekerjasama Dalam Industri Berkaitan Angkasa

22/10/2024 07:58 PM

KUCHING, 22 Oct (Bernama) -- Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan dua pihak lain untuk bekerjasama dalam pembangunan modal insan dan penyelesaian teknologi dipacu kecerdasan buatan (AI), memfokuskan kepada industri berkaitan angkasa.

Dalam satu kenyataan hari ini, SDEC, syarikat milik penuh kerajaan Sarawak berkata MoU itu ditandatangani dengan Centre for Technology Excellence Sarawak Sdn Bhd (CENTEXS) dan ANGKASAX Innovation Sdn Bhd (Angkasa-X).

MoU itu menyatakan SDEC akan meneroka kemungkinan mewujudkan stesen bumi untuk operasi satelit.

Ia juga merancang untuk menubuhkan kemudahan ujian bersepadu pemasangan (AIT) bagi pembangunan satelit milik Sarawak, serta menyediakan perkhidmatan penderiaan jauh dan telekomunikasi sebagai sebahagian daripada Buruj A-SEANSAT dan A-SEANLINK.

“SDEC juga akan meneliti pembangunan aplikasi dan perkhidmatan satelit melalui Ekosistem Digital dan Inovasi Sarawak,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, kerjasama dengan CENTEXS akan menumpukan kepada pembangunan modal insan, latihan dan akreditasi dalam teknologi angkasa dan bidang-bidang berkaitan serta berkongsi maklumat mengenai pengetahuan teknikal, pengalaman profesional, piawaian industri dan amalan terbaik.

Penyepaduan AI ke dalam teknologi angkasa dan satelit akan menjadi bidang tumpuan untuk Angkasa-X dengan kerjasama CENTEXS.

Mereka akan memberi tumpuan kepada bakat teknologi angkasa lepas, kepakaran dalam kejuruteraan satelit dan angkasa lepas serta penyelidikan dan pembangunan untuk membangunkan ekonomi angkasa lepas Sarawak/Borneo.

Majlis menandatangani MoU itu dipimpin Ketua Pegawai Eksekutif SDEC Datuk Sudarnoto Osman, Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS Datuk Syeed Mohd Hussien Wan Abd Rahman dan Pengerusi Eksekutif Angkasa-X Datuk Dr Sean Seah.

Majlis itu disaksikan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Ia diadakan sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2024 baru-baru ini.

Sudarnoto berkata kerjasama itu mewakili lonjakan transformatif, meningkatkan kesalinghubungan dan menyumbang kepada Sarawak yang lebih saling berhubung.

“Pembangunan satelit milik Sarawak akan membolehkan lagi komunikasi yang boleh dipercayai di kawasan terpencil dan kurang liputan disebabkan infrastruktur tradisional yang tidak mencukupi.

“Mereka akan memudahkan kemajuan dalam perkhidmatan jalur lebar, memastikan komunikasi global yang lancar dan memupuk inovasi merentas pelbagai sektor,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan