EKONOMI > BERITA

MAB Tumpu Latihan, Ambil Pekerja Tangani Peningkatan Permintaan - MoF

23/10/2024 11:49 AM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Malaysia Airlines Bhd (MAB) telah menyatakan komitmennya dengan memberi tumpuan kepada aspek latihan dan pengambilan pekerja bagi menangani isu peningkatan permintaan serta kompleksiti pesawat moden. 

Kementerian Kewangan (MoF) berkata MAB juga telah bertindak memperkukuh tawaran gaji pekerja yang kompetitif bagi menarik minat pekerja baharu dan mengekalkan pekerja sedia ada selain melaksanakan proses pengambilan terus dari pasaran. 

"Sebagai langkah proaktif, MAB juga melaksanakan pembangunan kumpulan bakat bagi menampung keperluan tenaga kerja bagi jangka panjang," kata kementerian itu dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.

Kenyataan itu sebagai menjawab pertanyaan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai langkah-langkah yang sedang diambil oleh kementerian agar MAB kekal berdaya saing dan kembali sebagai syarikat penerbangan Malaysia utama, di samping memastikan pengambilan tenaga mahir dapat dilakukan pada kadar segera.

Kementerian berkata selain masalah kekurangan tenaga mahir dalam bidang kejuruteraan penerbangan, tumpuan turut diberikan terhadap kebolehcapaian mendapatkan bekalan stok dalam tempoh masa yang ditetapkan bagi memastikan kerja-kerja pembaikan pesawat dapat dilaksanakan dengan segera.   

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan