EKONOMI > BERITA

Malaysia Sebagai Rakan BRICS Buka Lebih Banyak Ruang Dari Aspek Perdagangan

24/10/2024 07:15 PM

BANGI, 24 Okt (Bernama) -- Pemilihan negara sebagai antara rakan dalam BRICS dapat membantu membuka lebih banyak ruang dari aspek perdagangan antara Malaysia dan negara-negara dalam blok itu, kata Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA- UKM) Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.

Beliau berkata sebagai rakan yang diiktiraf, Malaysia akan mudah mendapat maklumat dan perkembangan terkini mengenai negara-negara tersebut.

“Kemungkinan apabila kita menyertai kumpulan ini, pertimbangan dalam konteks (negara) membangun itu ada. Apabila menyertainya (sebagai) rakan, maksudnya sebagai rakan kongsi, kita tidak terikat dengan dasar (BRICS), tetapi kita ingin tahu apa yang berlaku di sana. 

“Dalam kata lain, sebagai rakan, saya pasti kita akan menunjukkan sokongan dan kemungkinan kita juga dapat tahu apa perbincangan yang terkini, apa insentif dan keistimewaan untuk perdagangan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas Sidang Media Khas Belanjawan 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pemilihan Malaysia sebagai rakan dalam BRICS.

Terdahulu, kemas kini oleh @BRICSInfo menerusi platform media sosial X, menunjukkan Malaysia kini diiktiraf sebagai satu daripada 13 negara rakan yang ditambah secara rasmi dalam BRICS, sebuah blok yang secara kolektif menyumbang satu per lima kepada perdagangan global.

Selain Malaysia, 12 negara lain ialah Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.

Pada 28 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan Malaysia telah mengemukakan permohonan kepada Rusia untuk menyertai pertubuhan antara kerajaan BRICS.

Rusia kini mempengerusikan blok itu, yang turut merangkumi Brazil, India, China dan Afrika Selatan.

BRICS, asalnya merangkumi Brazil, Rusia, India dan China ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun, dengan Afrika Selatan menyertainya pada 2010.

Blok itu telah berkembang dengan meliputi Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu.

BRICS mewakili kira-kira 40 peratus daripada populasi global dan menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terkumpul US$26.6 trilion atau 26.2 peratus kepada KDNK dunia, hampir menyamai kekukuhan ekonomi Kumpulan Tujuh (G7). (US$1=RM4.34).

G7 ialah kumpulan tidak rasmi tujuh daripada ekonomi maju dunia merangkumi Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, United Kingdom, Amerika Syarikat serta Kesatuan Eropah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan