EKONOMI > BERITA

Iskandar Malaysia Catat Pelaburan Komited RM40.3 Bilion Bagi Tempoh Jan-Sept 2024 - PM Anwar

24/10/2024 08:41 PM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Iskandar Malaysia telah mencatatkan pelaburan komited sebanyak RM40.3 bilion manakala pelaburan direalisasikan mencecah RM22.5 bilion bagi tempoh Januari hingga September lepas, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata perkara itu dimaklumkan semasa beliau mempengerusikan mesyuarat ke-33 Ahli Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) hari ini, kata Anwar dalam hantaran di laman X.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata mesyuarat itu turut membincangkan isu-isu berkaitan hala tuju dan inisiatif yang telah digariskan untuk Iskandar Malaysia, termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang akan memberi anjakan kepada ekonomi negara.

“Mengambil contoh ikhtiar pewujudan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia-Johor (IMFC-J), saya menekankan kepentingan keberkesanan pelaksanaan dari segi proses dan tempoh masa kelulusan sesuatu permohonan, selaras dengan strategi kerajaan dalam memudah cara perniagaan,” kata beliau.

Anwar berkata dalam konteks negeri Johor, pelbagai projek baharu dan sambungan yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 perlu disambut dengan pelaksanaan segera dan berkesan.

Beliau berkata negeri Johor juga perlu memanfaatkan Kepengerusian ASEAN 2025 berikutan beberapa mesyuarat akan dianjurkan di negeri tersebut.

“Natijahnya, limpahan manfaat hanya akan dapat dirasai melalui perancangan serta pelaksanaan yang bersepadu dan berkesan,” kata beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan