EKONOMI > BERITA

Lebih 18,000 Usahawan Selangor Terima Pembiayaan Berjumlah RM1.1 Bilion - Ramanan

26/10/2024 06:14 PM

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Sebanyak 18,116 usahawan di Selangor menerima pembiayaan berjumlah RM1.1 bilion daripada agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dari Januari hingga Ogos tahun ini untuk mengembangkan perniagaan dan daya saing mereka.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM126.4 juta diperuntukkan kepada 14,406 Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), RM73.1 juta kepada 3,324 usahawan di bawah TEKUN Nasional dan RM253.9 juta disalurkan Bank Rakyat kepada 208 usahawan.

Selain itu, SME Bank menyalurkan pembiayaan berjumlah RM645.7 juta kepada 152 usahawan manakala pembiayaan francais di bawah Pernas berjumlah RM5.8 juta kepada 26 syarikat.

"Pada hari ini, sebagai usaha berterusan KUSKOP untuk membantu usahawan dan koperasi, saya akan menyampaikan bantuan cek pembiayaan daripada empat agensi KUSKOP iaitu Bank Rakyat, SME Bank, TEKUN Nasional dan SME Corp dengan nilai keseluruhan berjumlah RM5.4 juta kepada usahawan yang layak," katanya pada Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Wilayah Tengah di Sungai Buloh, Selangor hari ini.

Mengenai SDSI, Ramanan berkata ia bertujuan mewujudkan ekosistem inklusif kepada usahawan untuk mempamerkan dan menjual produk yang melambangkan identiti daerah mereka.

Beliau berkata sebanyak 50 usahawan dari Selangor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan terlibat dalam Showcase SDSI Wilayah Tengah itu.

"Showcase SDSI ini juga membuktikan keberkesanan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam usaha membangunkan produk-produk usahawan tempatan yang berkualiti dan dapat menembusi pasaran pada peringkat domestik dan antarabangsa," katanya.

Ramanan berkata KUSKOP turut membawakan program BIAYA pada acara itu dengan mengumpulkan agensi-agensi pembiayaan awam, swasta dan alternatif di bawah satu bumbung untuk membantu usahawan memilih produk pembiayaan yang bersesuaian dengan keperluan mereka.

Pada acara itu juga, beliau turut merasmikan Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU) anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bersempena dengan sambutan Deepavali yang menawarkan barangan, seperti gula, tepung, minyak masak, ayam dan daging kambing dengan diskaun kira-kira 20 peratus daripada harga pasaran.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan