EKONOMI > BERITA

Northern Techvalley @ BKE Sasar Pelaburan Bernilai Tinggi - Suling Hill Development

28/10/2024 05:02 PM

BUKIT MERTAJAM, 28 Okt (Bernama) -- Pemaju hartanah Suling Hill Development Sdn Bhd hari ini telah melancarkan Northern TechValley @ BKE, sebuah projek taman perindustrian yang diunjurkan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.3 bilion.

Northern TechValley @ BKE yang terletak di samping Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) merupakan usaha sama antara Suling Hill serta penyedia penyelesaian ruang industri terkemuka, AME Elite Consortium Bhd dan pemaju hartanah terkenal, Majestic Gen Sdn Bhd.

Pengarah Suling Hill, Ta Wee Dher berkata Northern TechValley seluas 176 ekar mewakili pengembangan pertama AME Elite dalam pembangunan taman perindustrian bersepadu yang memenangi anugerah di luar Johor selain telah menarik perhatian syarikat domestik dan multinasional yang terlibat dalam industri bernilai tambah tinggi.

Taman itu direka bagi mewujudkan persekitaran kondusif yang memenuhi keperluan syarikat global serta domestik mampu menjana peluang pekerjaan dan mengukuhkan rantaian bekalan tempatan. 

“Inisiatif ini penting bagi meningkatkan daya tarikan pelaburan Pulau Pinang dan meletakkan negeri ini sebagai destinasi utama untuk pelaburan serta inovasi berkualiti tinggi di rantau ini.

“Pasukan berdedikasi kami telah merancang dengan teliti projek ini sebagai pembangunan perindustrian hijau, menggabungkan ciri-ciri yang direka untuk mengurangkan kesan alam sekitar sambil mengejar pensijilan GreenRE. Taman itu merangkumi gaya hidup menyeluruh dan kemudahan rekreasi yang mengutamakan kesejahteraan serta kualiti hidup masyarakat,” katanya dalam ucapan pada pelancaran Northern TechValley @ BKE di sini hari ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow merasmikan majlis itu. Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang, Datuk Loo Lee Lian turut hadir.

Ta berkata lokasi utama Northern TechValley di samping BKE akan memastikan sambungan yang sangat baik melalui rangkaian jalan raya utama, termasuk Lebuhraya Utara-Selatan, membolehkan pengurusan logistik dan rantaian bekalan yang cekap termasuk hampir dengan landasan kereta api, pelabuhan dan lapangan terbang.

Northern TechValley menawarkan penyelesaian ruang sehenti yang fleksibel yang disesuaikan dengan keperluan operasi yang pelbagai, membolehkan syarikat pelanggan mengoptimumkan operasi dan mempercepatkan rancangan pengembangan.

Ia juga menampilkan utiliti yang mantap, bekalan tenaga serta air yang boleh dipercayai, dan internet gentian optik berkelajuan tinggi.

Beliau berkata Northern TechValley dijangka siap pada 2029.

Sementara itu, Chow berkata kerja-kerja tanah telah bermula pada Ogos dan pembinaan dijangka akan berlangsung mulai separuh pertama 2025.

“Pelaburan ini menggambarkan keyakinan perniagaan tempatan dan global terhadap potensi Northern TechValley ke arah menjadi hab perindustrian yang berkembang maju serta sebagai bukti daya tarikan berterusan Pulau Pinang sebagai destinasi untuk industri inovatif dan bernilai tinggi ,' tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan