EKONOMI > BERITA

KKDW Jalin Kerjasama 26 Rakan Strategik Bantu Usahawan Desa Adaptasi Perniagaan Digital

28/10/2024 09:02 PM

TAWAU, 28 Okt (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menjalinkan kerjasama dengan 26 rakan strategik berpengalaman dan terlibat secara langsung dalam bidang perniagaan digital bagi membantu usahawan desa mengadaptasi bidang itu melalui Program Pendigitalan Usahawan Desa (PPU).

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKDW Datuk Afandi Nordin berkata kerjasama itu penting bagi membolehkan perniagaan diusahakan usahawan desa selari dengan perniagaan digital semasa, selain memastikan PPU sentiasa relevan.

"Seramai 2,524 usahawan menerima manfaat daripada program yang diadakan pada tahun 2022 dan 2023, manakala pada tahun ini sebanyak enam siri PPU direncanakan oleh pihak kementerian dengan sasaran untuk mendigitalkan seramai 1,200 usahawan desa," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian PPU Siri 6 yang dibacakan Setiausaha Bahagian Pembangunan Ekonomi Desa KKDW Sabri Ramly di sini hari ini.

Afandi berkata menerusi PPU, usahawan terlibat diberi pendedahan dalam 12 modul bersama rakan strategik seperti Pendigitalan Kewangan disertai Bank Islam, Bank Simpanan Nasional, Maybank dan Rural Capital Berhad;  eWallet atau Payment Gateway disertai Maybank QRPay, Bayarlah, SakuPay dan Kiplepay.

Manakala E-Dagang dan WhatsApp Business disertai MyMall, Lazada Malaysia, Shopee dan Peasy; Peruncitan Digital disertai Petron Malaysia; Route to Halal disertai Halal Development Corporation (HDC); Tanda Dagangan disertai oleh IPVolusi dan Pemasaran Afiliasi disertai TikTok Malaysia serta Ohsem Ads.

Beliau berkata berdasarkan maklum balas diterima dari para usahawan yang menyertai beberapa Siri PPU sebelum ini berjaya menambah baik operasi perniagaan mereka selain dapat mengembangkan perniagaan dan meningkatkan produktiviti serta kecekapan pengurusan perniagaan.

Perkembangan positif itu dapat direalisasikan melalui pendedahan dan latihan mengenai aplikasi digital perniagaan terkini dan bantuan-bantuan berkaitan pendigitalan perniagaan yang telah diberikan oleh pihak kementerian dan rakan strategik terlibat.

Pada era revolusi digital ini, pendigitalan suatu keperluan memastikan daya saing perniagaan yang perkara itu juga ditekankan dalam Belanjawan 2025 dan kerajaan merangka inisiatif untuk memastikan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tidak ketinggalan dalam pendigitalan global, tambah beliau.

"Bagi meningkatkan kapasiti perniagaan PMKS dengan beralih ke arah pendigitalan, sebanyak RM50 juta Geran Padanan Digital PMKS dan Geran Digital Penjaja di bawah BSN telah diperuntukkan untuk usahawan tempatan bertujuan mengintegrasikan teknologi digital dalam operasi perniagaan agar kekal berdaya saing dalam pasaran.

"Manakala, di bawah inisiatif Bank Negara Malaysia, dana pinjaman PKS sebanyak RM3.8 bilion turut disediakan bagi menyokong usahawan untuk beralih ke arah digital dan automasi selain terus membantu sektor agromakanan dan amalan lestari," katanya.

Sementara itu, usahawan memproses makanan Yenni Andi Tahir berkata banyak ilmu perniagaan digital diperoleh selepas menyertai PPU, terutama melibatkan penggunaan rangkaian digital yang disediakan rakan strategik dalam Desamall.

"Saya menyertai program ini untuk mengetahui lebih lanjut program digital kerana kemahiran saya mengenai digital ini kurang, saya mahu tahu cara macam mana mengembangkan perniagaan saya dalam digital, selepas ini saya boleh aplikasikan.

"Perniagaan saya memproses keropok termasuk biskut di Karamunting, Sandakan. Ketika ini jualan produk saya hanya di Sandakan dan Ranau, sasaran kami juga untuk ke Lahad Datu dan saya mahu memperluaskan kawasan jualan produk sebab itu saya menyertai program disediakan KKDW," katanya.

Beliau mahu menggunakan platform digital untuk memasarkan produk sekali gus meningkatkan pendapatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan