EKONOMI > BERITA

K-One Cadang Terbit Waran Percuma, 1 Waran Bagi Empat Saham Biasa Sedia Ada

28/10/2024 09:19 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- K-One Technology Bhd bercadang untuk menerbitkan sehingga 208 juta waran percuma D dalam syarikat berasaskan satu waran bagi setiap empat saham biasa sedia ada yang dipegang.

Penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) itu menjelaskan setiap waran akan melayakkan pemegang untuk melanggan saham baharu K-One pada harga 20 sen dalam tempoh pelaksanaan selama tiga tahun.

Berdasarkan andaian yang waran itu dilaksanakan sepenuhnya, K-One akan mengumpul hasil kasar kira-kira RM41.6 juta, dan sebarang hasil akan digunakan untuk keperluan modal kerja kumpulan, menurutnya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Isnin.

“(Ini termasuk untuk) perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan, kos prototaip, pembayaran perbelanjaan utiliti, sewa, perdagangan dan hutang lain dan/atau perbelanjaan pentadbiran dan operasi.

“Perbelanjaan pentadbiran dan operasi meliputi, antara lain, gaji, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial serta perbelanjaan lain berkaitan kakitangan,” tambah K-One.

Syarikat itu memaklumkan sementara menunggu penggunaan hasil yang akan dikumpulkan dan tempoh pelaksanaan waran D, hasil itu akan ditempatkan sebagai deposit di institusi kewangan berlesen  dan/atau instrumen pasaran wang jangka pendek.

“Sebarang faedah yang diperoleh daripada deposit itu atau keuntungan daripada instrumen pasaran wang jangka masa pendek itu akan digunakan sebagai dana tambahan untuk keperluan modal kerja syarikat,” jelasnya.

Pada 2 Okt, 2024, K-One mempunyai jumlah modal saham terbitan sebanyak RM123.64 juta yang terdiri daripada 832.01 juta saham dan tidak mempunyai sebarang saham perbendaharaan.

“Dalam situasi luar jangka dan tertakluk kepada semua kelulusan yang diperlukan diperoleh, cadangan terbitan waran percuma ini dijangka selesai menjelang suku keempat 2024,” tambahnya.

Malacca Securities dilantik sebagai penasihat utama untuk cadangan terbitan waran percuma itu.

Semasa dagangan ditutup hari ini, saham K-One susut setengah sen kepada 16.5 sen dengan 762,100 saham bertukar tangan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan