EKONOMI > BERITA

Belanjawan 2025 Kekalkan Pendekatan Pengukuhan Fiskal Secara Beransur-ansur - Fitch Ratings

29/10/2024 04:35 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 Malaysia mengesahkan komitmen kerajaan ke arah pengukuhan fiskal secara beransur-ansur daripada paras hutang yang tinggi berbanding rakan setara, menurut Fitch Ratings.

Belanjawan itu mengunjurkan defisit 3.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025 tidak termasuk langkah-langkah dalam belanjawan baharu, turun daripada anggaran 4.3 peratus pada 2024, kata agensi penarafan kredit itu dalam satu kenyataan hari ini.

"Angka-angka ini selaras dengan andaian Fitch apabila kami mengesahkan penarafan Malaysia pada 'BBB+' dengan Tinjauan Stabil pada Jun 2024," katanya.

Belanjawan itu juga mengulangi sasaran Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) dan Kewangan Awam untuk mengurangkan defisit kepada 3.0 peratus daripada KDNK dan hutang kerajaan Persekutuan di bawah 60 peratus daripada KDNK dalam jangka sederhana, walaupun tiada garis masa khusus disediakan.

Ia menyatakan hutang kerajaan Persekutuan berada pada 63.1 peratus daripada KDNK pada akhir Jun 2024 dan rangka kerja fiskal jangka sederhana mengunjurkan defisit akan secara purata 3.5 peratus daripada KDNK sepanjang 2025-2027.

Sementara itu, kerajaan mengunjurkan kutipan hasil pada 2025 akan bersamaan dengan 16.3 peratus daripada KDNK pada 2025 daripada 16.5 peratus pada 2024.

"Ini berikutan sumbangan yang lebih lemah daripada hasil yang berkaitan dengan petroleum," katanya.

Fitch mengunjurkan garis dasar untuk harga minyak Brent pada 2025 adalah pada US$70 setong, jatuh di bawah paras julat unjuran kerajaan iaitu US$75-US$80 setong, menunjukkan risiko penurunan tambahan kepada hasil, katanya.

Selain itu, Fitch berpendapat kesan bersih daripada langkah penjanaan hasil baharu sebagai agak kecil.

Usaha-usaha itu termasuk cukai 2.0 peratus ke atas pendapatan dividen individu, duti eksais yang lebih tinggi ke atas minuman manis dan pelarasan kepada cukai jualan dan perkhidmatan untuk meluaskan skopnya dan menjadikannya lebih progresif.

Rasionalisasi subsidi mungkin mempunyai kesan makroekonomi yang positif pada margin jika pembaharuan fiskal mempunyai kesan bersih untuk menyalurkan lebih banyak sumber kepada golongan penduduk yang kurang kaya tetapi mempunyai kecenderungan untuk berbelanja lebih tinggi, katanya.

Belanjawan itu mengunjurkan perbelanjaan akan jatuh kepada 20.2 peratus daripada KDNK pada 2025, berbanding 20.9 peratus pada 2024 ketika kerajaan terus memperbaharui subsidi Malaysia untuk mengurangkan subsidi bagi kumpulan pendapatan tinggi.

Keputusan menyalurkan sebahagian besar penjimatan daripada pembaharuan subsidi kepada perbelanjaan tambahan, termasuk meningkatkan bantuan sosial untuk kumpulan berpendapatan rendah dan gaji lebih tinggi untuk kakitangan awam akan menyumbang kepada kadar pengurangan hutang yang agak perlahan.

Fitch mengunjurkan hutang kerajaan atau KDNK Malaysia akan jatuh daripada 76.7 peratus pada 2023 kepada 73.7 peratus pada 2026.

"Ini akan kekal lebih tinggi dengan ketara berbanding median bagi negara berdaulat kategori 'BBB' sebanyak 59.1 peratus pada 2026, walaupun trend menaik dalam paras hutang median bermakna jurang antara Malaysia dan rakan setaranya mengecil sepanjang 2024-2026.

"Kejutan fiskal yang positif yang membawa kepada pengurangan hutang atau KDNK yang lebih cepat daripada yang kami jangkakan boleh memberi tekanan ke atas penarafan Malaysia," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan