EKONOMI > BERITA

Hubungan Ekonomi Sweden-Malaysia Berkembang, FDI & Semikonduktor Pacu Pertumbuhan

01/11/2024 10:08 AM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram and Mikhail Raj Abdullah

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Hubungan ekonomi antara Sweden dan Malaysia telah berkembang pesat dengan pelaburan langsung asing (FDI) Sweden di Malaysia melonjak kepada US$1.43 bilion (US$1=RM4.37) sehingga kini berbanding hanya US$113 juta pada 2014.

Duta Besar Sweden ke Malaysia , Niklas Wiberg optimis pertumbuhan luar biasa ini akan menjadi lebih baik, memandangkan Malaysia semakin ketara berperanan sebagai salah satu rakan kongsi utama Sweden di Asia Tenggara susulan pemulihan aktiviti ekonomi selepas wabak.

“Hubungan ekonomi Sweden di Malaysia sedang dipelbagaikan melalui perdagangan, pelaburan dan kerjasama yang mantap dalam pelbagai sektor,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif sejak mengambil alih tanggungjawab tersebut kira-kira dua bulan lalu.

Wiberg menyampaikan tauliahnya sebagai Duta Besar Sweden ke Malaysia kepada yang di-Pertuan Agung Sultan Ibrahim pada 21 Okt lepas.

Sebelum ini, beliau bertugas di Rom, Itali dan mengambil alih jawatannya di sini pada 15 Ogos 2024, menggantikan Dr. Joachim Bergström.

Wiberg berkata hubungan perdagangan antara kedua-dua negara mempamerkan keseimbangan yang sihat pada 2023, dengan eksport Sweden ke Malaysia mencecah kira-kira US$388 juta manakala import dari Malaysia berjumlah US$449 juta.

“Perdagangan (imbangan) ini mencerminkan pertukaran yang pelbagai, dengan eksport Sweden ke Malaysia terdiri daripada jentera serta peralatan mekanikal (29 peratus); bahagian kenderaan termasuk komponen kereta api (13 peratus); peralatan dalam sektor kenderaan (12 peratus) serta produk farmaseutikal (11 peratus),” katanya.

Import Sweden dari Malaysia merangkumi mesin dan peralatan elektrik (19 peratus); getah dan produk berkaitan (14 peratus); lemak dan minyak sayuran (13 peratus) serta produk kimia (13 peratus).

“Kami mempunyai pertukaran ekonomi yang baik dalam industri seperti pembuatan, teknologi, tenaga hijau dan telekomunikasi. Selepas pandemik, kami melihat peningkatan hubungan ekonomi dengan kerjasama dalam teknologi hijau, inovasi digital serta pembuatan berteknologi tinggi,” tambahnya.

 

Fokus dalam sektor semikonduktor 

 

Ketika ditanya mengenai sektor yang berpotensi untuk pertumbuhan, Wiberg menekankan industri semikonduktor sebagai bidang pertumbuhan utama bagi kedua-dua negara, dengan menjelaskan permintaan Sweden untuk semikonduktor dan litar bersepadu Malaysia semakin melonjak.

“Saya rasa ruang semikonduktor Malaysia mungkin merupakan kawasan yang paling ketara, yang mana kami melihat alternatif mula datang ke pasaran yang sebelum ini kami terlibat secara tradisional.

“Terdapat juga banyak kecekapan serta pengalaman daripada syarikat Sweden dalam industri semikonduktor, dan mereka melihat potensi pengembangan pelaburan di Pulau Pinang memandangkan kluster ini semakin kukuh di Malaysia,” katanya.

“Ini penting untuk mengekalkan selain membangunkan sektor teknologi serta pembuatan Sweden sendiri di Malaysia dan Sweden termasuk syarikat dari Eropah yang mencari alternatif,” katanya lagi.

Duta Besar itu juga memberitahu bahawa Malaysia merupakan lokasi yang menarik untuk syarikat yang mahu mewujudkan kepelbagaian dan mengukuhkan daya tahan rantaian nilai mereka atau lebih tepatnya mengurangkan risiko bagi mempelbagaikan perdagangan.

“Kami tidak boleh bergantung pada perdagangan dengan satu rakan kongsi sahaja, malah kami perlu mencari beberapa negara yang berkongsi kecekapan yang sama. Ia bukan sahaja terpakai kepada China; ia turut terpakai kepada banyak negara berikutan COVID-19 serta perang di Ukraine yang telah mengajar bahawa kami mesti boleh dipercayai dan oleh itu perlu bergantung kepada beberapa rakan kongsi untuk melindungi rantaian nilai kritikal,” katanya.

Malaysia mampu mengekalkan bekalan komponen semikonduktor penting dan cip automotif kepada negara tertentu semasa gangguan COVID-19, berbanding kapasiti pembuatan semikonduktor di Eropah.

 

Pelaburan dan peluang pekerjaan Sweden di Malaysia

 

Pada masa ini, syarikat Sweden terbesar yang beroperasi di Malaysia terdiri daripada IKEA, SIBS, Ericsson, Essity, Aptilo Networks, Mölnlycke, ABB, Sandvik, Volvo Trucks, Volvo Car dan Scania.

Syarikat-syarikat ini secara kolektif menjana sekitar 7,000 pekerjaan di Malaysia terutamanya dalam sektor berteknologi tinggi dan berintensifkan modal.

“Tumpuan syarikat-syarikat ini telah beralih ke arah inovasi dan sains, justeru, memainkan peranan penting dalam proses perindustrian Malaysia,” katanya.

 

Prospek masa depan dan perjanjian perdagangan

 

Wiberg melahirkan keyakinan tentang masa depan hubungan dagang bilateral membabitkan kedua-dua negara itu, terutamanya dengan penyambungan semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang terhenti antara Kesatuan Eropah (EU) dan Malaysia.

“Kami percaya ini adalah langkah penting yang boleh membawa kepada rundingan yang saling menguntungkan mengenai kemampanan dan isu penting lain,” katanya.

Dialog yang diperbaharui menawarkan peluang bagi mengukuhkan hubungan ekonomi selain menyokong peralihan ke arah teknologi yang lebih hijau dan inovasi digital.

Oleh itu, Wiberg berkata syarikat Sweden sudah bersedia untuk menerajui peralihan ini, menggariskan kepentingan perjanjian perdagangan serantau dalam rangka kerja Eropah.

Pada 22 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa lawatan rasminya ke Jerman berkata bahawa sudah tiba masanya untuk Malaysia dan EU menghidupkan semula perbincangan mengenai FTA bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan integrasi serantau. 

Rundingan untuk FTA bermula pada Oktober 2010, dengan lapan pusingan diadakan sehingga September 2012 tetapi terhenti berikutan dasar Malaysia terhadap minyak sawit, polisi perolehan, subsidi, dan klausa kemampanan EU.

Berdasarkan perangkaan EU, perdagangan dua hala dengan EU berjumlah €44.7 bilion (RM218.14 bilion) pada 2023, menjadikannya ianya sebagai rakan dagang keempat terbesar Malaysia selepas China, Singapura, dan Amerika Syarikat.

Perdagangan antara kedua-dua negara didominasi oleh produk perindustrian, jentera dan perkakasan.

Wiberg percaya prospek masa depan untuk perdagangan serta pelaburan bilateral adalah menjanjikan, disebabkan Malaysia dan Sweden sentiasa berusaha ke arah meningkatkan kerjasama serta mengukuhkan kedudukan mereka dalam ekonomi global.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan