EKONOMI > BERITA

Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia Capai Hasil Memberangsangkan - Gobind 

06/11/2024 03:28 PM

Daripada Nurul Jannah Kamaruddin

BARCELONA, 6 Nov (Bernama) -- Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia, yang bertujuan memacu bandar-bandar tempatan mencapai standard bandar pintar global, menonjolkan hasil yang memberangsangkan apabila berjaya melonjakkan Kuala Lumpur ke kedudukan lebih baik berbanding tahun lepas, dalam Indeks Bandar Pintar Institut Pembangunan Pengurusan (IMD).

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata Kuala Lumpur melonjak 16 anak tangga untuk berada di kedudukan 73, berbanding tangga ke 89 tahun lepas, bukti inovasi bandar Malaysia yang semakin berkembang.

Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia dilancarkan pada 2018 bagi menangani isu kerumitan bandar pintar yang berdepan cabaran untuk menyepadukan sistem pengurusan dan teknologi yang pelbagai sambil melindungi privasi, keselamatan dan daya tahan data.

Gobind berkata pencapaian itu dikaitkan dengan usaha aktif kerajaan yang bergerak ke hadapan dengan pelbagai rancangan dan inisiatif. 

Sebagai contoh, kerajaan memperkenalkan penyelesaian pengangkutan pintar di bandar pentadbiran, Putrajaya, dengan kerjasama firma tempatan Emoovit, mendayakan bas berautonomi dengan teknologi 5G, kamera berdefinisi tinggi, teknologi keselamatan penumpang Vehicle-to-Everything (V2X) masa nyata dan wifi percuma.

"Saya telah menaiki bas ini pada Mei dan mempunyai pengalaman yang selesa, selamat dan lancar," katanya kepada Forum Bandar Digital Malaysia yang diadakan di sini malam tadi.

Selain di Putrajaya, trem pintar berkuasa hidrogen yang tidak memerlukan rel turut sedang diuji penggunaannya di Kuching, Sarawak, katanya.

"Terdapat cadangan untuk memperkenalkan 38 kenderaan transit pantas autonomi (ART) melibatkan tiga laluan utama merentasi bandar raya itu dalam fasa pertama," kata Gobind.

Beliau berkata untuk terus memacu inisiatif bandar pintarnya, Malaysia juga menerima teknologi termaju seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT), dan analisis data raya.

Penubuhan Malaysia Urban Observatory (MUO), sebagai contoh, bertujuan untuk menyepadukan set data yang luas bagi memberikan pandangan yang boleh diambil tindakan untuk perancangan dan pengurusan bandar.

"Platform ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi bandar tetapi juga memperkasakan pembuat keputusan dengan penyelesaian terdorong data untuk menangani cabaran bandar raya yang kompleks," katanya.

Pada masa sama platform ini menonjolkan rancangan Malaysia untuk mengguna pakai penyelesaian perkakasan sumber terbuka, dapat memperkasakan perancang bandar dengan menggunakan penyelesaian lebih menjimatkan, yang disesuaikan dengan keperluan tempatan, sambil menggalakkan kemampanan dan meminimumkan sisa elektronik.

"Cita-cita ini disokong oleh syarikat teknologi terkemuka Malaysia, yang sudah pun merintis kemajuan digital merentas sektor utama,” katanya sambil menambah bahawa Merdeka Large Language Model (LLM) Agmo Group, penyumberan ramai pertama Malaysia, satu langkah penting ke arah kedaulatan AI, manakala projek infrastruktur hijau yang didayakan AI UnBound menyokong kehidupan bandar yang mampan.

Sementara itu, Inisiatif MetaVision Virtualtech Frontier Malaysia membawakan teknologi Metaverse yang mengasyikkan ke ruang bandar raya, dan kerjasama dipacu data Asia Mobility yang mengoptimumkan infrastruktur kenderaan elektrik (EV) bagi mempercepatkan mobiliti mampan.

“Bersama-sama, inovasi ini menggambarkan pemacuan Malaysia untuk kepimpinan dalam AI, kemampanan, metaverse, dan mobiliti bandar, mengukuhkan peranan negara sebagai kuasa digital serantau,” kata Gobind.

Beliau berkata penubuhan kementerian itu oleh Perdana Menteri  Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Disember 2023 menandakan komitmen Malaysia untuk memajukan agenda digital negara, yang memfokuskan kepada tiga pemboleh utama: infrastruktur, daya tahan siber dan bakat digital.

Di samping itu, penubuhan Digital Nasional Bhd (DNB) memainkan peranan penting dalam menyediakan infrastruktur, melancarkan rangkaian 5G di seluruh negara dalam tempoh kurang daripada empat tahun sejak penubuhannya.

"DNB, bersama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), menerajui inisiatif Bandar Digital kementerian untuk memperkasakan bandar Malaysia yang berfikiran ke hadapan yang melaksanakan penyelesaian digital untuk menangani cabaran bandar.

"Melalui pengiktirafan dan sokongan yang disasarkan, kami menyasarkan untuk mengangkat bandar digital ini sebagai model kejayaan dan inspirasi untuk orang lain di seluruh negara," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan