EKONOMI > BERITA

BNM Kekal OPR Tidak Berubah Pada 3.0 Peratus

06/11/2024 04:59 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus semasa mesyuaratnya hari ini.

BNM menekankan bahawa ekonomi global terus berkembang di tengah-tengah pasaran buruh yang berdaya tahan dan pemulihan berterusan dalam perdagangan global. 

“Melihat ke hadapan, pertumbuhan global dijangka dikekalkan oleh keadaan pasaran buruh yang positif, inflasi yang menyederhana dan dasar monetari yang kurang ketat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemulihan perdagangan global dijangka berterusan, disokong oleh produk elektrik dan elektronik (E&E) serta bukan E&E.

Bagaimanapun, bank pusat itu menekankan prospek pertumbuhan kekal tertakluk kepada risiko penurunan, terutamanya daripada ketegangan geopolitik serta ketidaktentuan yang semakin meningkat dalam pasaran kewangan global termasuk momentum pertumbuhan yang lebih perlahan dalam ekonomi utama.

BNM ketika mengulas mengenai ekonomi Malaysia memberitahu penunjuk terkini menunjukkan ke arah kekuatan yang mampan dalam aktiviti ekonomi, didorong oleh perbelanjaan domestik yang berdaya tahan selain lonjakan dalam aktiviti eksport.

“Melangkah ke hadapan, eksport dijangka disokong oleh kitaran peningkatan teknologi global, kekuatan berterusan dalam barangan bukan E&E dan perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi ,” katanya.

BNM juga berkata pertumbuhan pekerjaan dan gaji, serta langkah dasar, kekal menyokong perbelanjaan isi rumah.

“Perkembangan teguh dalam aktiviti pelaburan akan dikekalkan oleh kemajuan projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam, realisasi pelaburan yang diluluskan yang lebih baik serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah pelan induk negara.

“Pelaburan-pelaburan ini, disokong oleh import modal yang lebih tinggi, akan melonjakkan eksport dan mengembangkan kapasiti produktif ekonomi,” tambah BNM.

Pada masa yang sama, bank pusat itu berkata langkah-langkah yang digariskan di bawah Belanjawan 2025 dijangka memberikan sokongan tambahan kepada pertumbuhan.

“Unjuran pertumbuhan tertakluk kepada risiko penurunan daripada permintaan luar dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan,” katanya lagi.

Sementara itu, risiko peningkatan kepada pertumbuhan terutamanya datang daripada limpahan yang lebih besar daripada kitaran naik teknologi, aktiviti pelancongan yang lebih giat dan pelaksanaan projek pelaburan yang lebih pantas.

Inflasi utama serta teras kekal sederhana, pada purata 1.8 peratus dari tahun ke tarikh terkini.

Melangkah ke 2025, inflasi dijangka kekal terurus dalam keadaan kos global yang mereda dan ketiadaan tekanan permintaan domestik yang melampau.

Bagaimanapun, prospek inflasi terus bergantung pada perincian pelaksanaan langkah-langkah dasar dalam negeri yang telah diumumkan. Risiko kenaikan inflasi akan bergantung pada tahap kesan limpahan langkah-langkah dasar dalam negeri serta harga komoditi global dan pengembangan pasaran kewangan.

Prestasi ringgit akan terus didorong terutamanya oleh faktor luaran.

“Keputusan pilihan raya Amerika Syarikat boleh meningkatkan turun naik dalam tempoh terdekat. Memandang ke hadapan, perbezaan kadar faedah yang semakin mengecil antara Malaysia dan ekonomi maju adalah positif bagi ringgit,” tambahnya.

Prospek ekonomi Malaysia yang menggalakkan serta pembaharuan struktur domestik, yang dilengkapi dengan inisiatif berterusan untuk menggalakkan aliran, akan memberikan sokongan yang terus-menerus ke atas ringgit.

Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan adalah konsisten dengan penilaian semasa tentang prospek inflasi serta pertumbuhan.

“MPC terus memantau perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian trajektori inflasi dan trajektori pertumbuhan dalam negeri menuju 2025 selain akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil,” katanya.

.Mesyuarat MPC hari ini adalah yang terakhir untuk tahun ini, dan mesyuarat itu turut meluluskan jadual enam mesyuarat MPC bagi tahun hadapan iaitu menjelang 22 Jan, 6 Mac, 8 Mei, 9 Julai, 5 Sept dan 6 Nov, selaras dengan Akta Bank Negara Malaysia 2009.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan