EKONOMI > BERITA

Malaysia Wajar Sedia Pelan Kontingensi Hadapi Dasar Trump 2.0 - Penganalisis

07/11/2024 05:01 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Malaysia wajar bertindak menyediakan pelan kontigensi atau luar jangka untuk berdepan sebarang kemungkinan perubahan dasar serta tarif bersasar Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump 2.0, kata penganalisis.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ini penting bagi membolehkan Malaysia mampu menangani risiko daripada langkah perdagangan bersifat punitif dengan mempelbagaikan pasaran eksport selain beransur-ansur mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran AS yang luas.

“Walaupun usaha penyusunan semula aliran perdagangan itu mencabar, ini sebaliknya dapat menjadi penampan yang penting, sekali gus memastikan Malaysia mengekalkan kestabilan ekonomi di tengah-tengah dasar AS yang tidak menentu.

“Langkah mengembangkan usaha ke pasaran sedang pesat membangun seperti blok ekonomi BRICS dan mengukuhkan lagi kerjasama serantau akan menjadi strategi penting untuk mengimbangi sebarang kemungkinan negatif,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kemenangan mantan presiden yang juga calon Republikan Donald Trump sebagai Presiden ke-47 AS dan bakal mengangkat sumpah pada 20 Jan, 2025.

 

Risiko ketegangan perdagangan AS-China berulang

Mengulas selanjutnya, Innes tidak menolak kemungkinan kemenangan Trump turut mencetuskan semula ketegangan perdagangan AS-China berikutan pentadbirannya menghidupkan semula dasar keras bagi mengekang eksport serta aliran pelaburan China.

Tekanan sedemikian, katanya, berpotensi menular ke serata Asia Tenggara dan memberi risiko terhadap hubungan perdagangan membabitkan kedua-dua kuasa ekonomi dunia itu.

“Rantaian bekalan yang terjejas misalnya boleh menjejaskan pertumbuhan di negara-negara Asia Tenggara, meningkatkan lagi ketidaktentuan perniagaan dan pasaran yang banyak bergantung kepada hubungan AS-China yang stabil.

 “Pentadbiran Trump juga dijangka menekankan lagi nasionalisme ekonomi dan berlakunya desakan peulang pekerjaan untuk anak tempatan serta insentif terhadap pembuatan domestik," katanya.

Innes juga menyifatkan peralihan sedemikian boleh mengekang pelaburan langsung asing di Asia Tenggara susulan tekanan ke atas syarikat AS untuk meningkatkan usaha menyetempatkan pengeluaran dalam negara.

Tindakan sedemikian hanya menjejaskan hab pembuatan seperti Vietnam dan Thailand selain memberi kesan ke atas sektor yang berkembang maju daripada pelaburan asing serta pertumbuhan yang dipacu oleh eksport. 

Berikutan itu, katanya, dasar sedemikian akan membentuk semula landskap pelaburan serantau dan mencabar ekonomi atau negara yang amat bergantung kepada peranan dalam rantaian bekalan global.

 

Impak ke atas Malaysia 

Selepas nasib yang menimpa sektor solar fotovoltan (PV), Innes berkongsi kebimbangannya bahawa industri eksport utama Malaysia lain seperti semikonduktor dan pertanian juga berkemungkinan dikenakan tarif di bawah pentadbiran Trump 2.0.

“Sebagai contoh, industri semikonduktor penting untuk ekonomi Malaysia dan boleh berdepan sekatan jika AS meneruskan alasan mengutamakan teknologi sendiri dan keselamatan negara.

“Eksport pertanian Malaysia juga berisiko mengalami nasib sama jika dasar Trump menyasarkan negara-negara dengan lebihan dagangan. Oleh itu, penting bagi Malaysia untuk melaksanakan dasar perlindungan dan menjamin sektor penting ini daripada pendedahan ketara ke pasaran AS.

“Sudah pasti, mudah untuk diucapkan namun sukar dari segi bertindak untuk menanganinya,” katanya.

Pada Jun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak akan mematuhi sekatan teknologi AS ke atas China jika melibatkan syarikat yang tidak tertakluk kepada bidang kuasa Washington.

Ini sejajar usaha Malaysia untuk memanfaatkan reputasi sebagai hab semikonduktor global bagi menarik pelaburan baharu yang turut didorong oleh pertikaian teknologi antara kedua-dua kuasa besar itu. 

Pada akhir Mei, 2024, AS telah mengenakan sekatan ke atas sebuah firma Malaysia atas alasan menghantar alat ganti dan komponen elektronik ke Rusia yang digunakan dalam tindakan ketenteraan ke atas Ukraine. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan