EKONOMI > BERITA

SIRIM Boleh Teraju Pembangunan Piawaian, Pensijilan Keluli Hijau - MITI

07/11/2024 10:30 PM

PETALING JAYA, 7 Nov (Bernama) -- SIRIM Bhd telah diiktiraf atas keupayaannya untuk menerajui pembangunan piawaian dan pensijilan keluli hijau sekali gus mewujudkan standard global bagi keluli sifar bersih yang dihasilkan secara mampan, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan dan Pengurusan) MITI Datuk Bahria Mohd Tamil berkata usaha itu akan menandakan permulaan revolusi keluli hijau baharu.

“Melabur dalam produk berasaskan teknologi hijau bukan sahaja selari dengan matlamat kemampanan global malah juga memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian mesra alam,” katanya pada Majlis SIRIM Industri (MSI) 2024 di sini, malam ini.

Beliau berkata kerajaan komited untuk mentransformasikan industri pembuatan kepada tahap baharu dengan memanfaatkan trend global, yang berkaitan dengan industri keluli.

“Berikutan sifat operasinya, industri keluli meningkatkan pelepasan karbon Malaysia dengan banyak, menjadikan negara ini dan dunia lebih terdedah kepada perubahan iklim.

“Dalam hal ini, MITI bekerjasama dengan pihak berkepentingan kami untuk merangka Pelan Hala Tuju Peralihan Hijau bagi Industri Besi dan Keluli, yang akan diselaraskan dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030,” katanya.

Sementara itu, SIRIM juga melancarkan “Ekosistem Holistik ESG SIRIM” hari ini, satu inisiatif pandangan jauh yang dirangka untuk menyokong dan mempercepat amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam kalangan industri Malaysia.

Ekosistem itu bertujuan memperkasakan perniagaan untuk memenuhi matlamat kemampanan dan menyumbang secara bermakna kepada objektif alam sekitar negara dan global.

Ekosistem Holistik ESG SIRIM menyediakan pelbagai perkhidmatan sokongan ESG yang komprehensif untuk syarikat Malaysia melalui anak syarikat dan unit perniagaan SIRIM iaitu SIRIM QAS International, SIRIM Academy, dan SIRIM IR.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan