EKONOMI > BERITA

Pavilion Malaysia Di SCEWC 2024 Melepasi Matlamat Prestasi Utama

08/11/2024 05:39 PM

Daripada NurulJannah Kamaruddin

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Pavilion Malaysia di Kongres Dunia Ekspo Bandar Pintar 2024 (SCEWC) telah melepasi petunjuk prestasi utamanya (KPI), menunjukkan acara itu telah mencatatkan kejayaan, menurut Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anuar Fariz Fadzil percaya SCEWC menawarkan peluang penting kepada Malaysia untuk meningkatkan kedudukannya dalam pasaran Sepanyol dan memacu kesedaran yang lebih baik berbanding sebelum ini.

“Bakat dan keupayaan kita telah membuka lebih banyak akses pasaran dan koridor pelaburan antara Malaysia dan Sepanyol.

“Ini telah meningkatkan pengiktirafan terhadap Malaysia dan saya amat berbangga bahawa MDEC memacu usaha ini,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Beliau berkata pavilion tersebut telah menarik lebih 2,000 pengunjung dari pelbagai negara termasuk Jerman, Itali, Poland, Jepun, Arab Saudi dan Sepanyol, yang berminat dengan teknologi merangkumi kecerdasan buatan, keselamatan siber, penyelesaian mobiliti, teknologi dron dan banyak lagi.

“Saya fikir ini antara pelaburan terbaik yang kami miliki setakat ini. Selain itu, kami mempunyai tujuh syarikat yang menyokong kami dan syarikat itu mempunyai sesi rangkaian yang baik untuk memajukan perniagaan mereka di Eropah,” katanya.

Anuar Fariz berkata sebanyak 10 kes penggunaan bandar digital global berimpak tinggi dikenal pasti berdaya maju untuk pelaksanaan di Malaysia.

Katanya usaha ini akan memacu perjalanan bandar pintar negara, menggalakkan integrasi teknologi termaju untuk kecekapan, kesalinghubungan dan daya tahan bandar yang lebih baik.

“Dengan Malaysia mempengerusikan ASEAN 2025, kita mempunyai pemahaman dan keupayaan untuk memacu kemajuan dalam negara, menunjukkan bukan sahaja Malaysia adalah sebuah negara yang hebat, tetapi seluruh rantau ini yang terus mencatatkan pertumbuhan,” katanya.

Beliau berkata MDEC giat mempromosikan Ekspo Bandar Pintar di Kuala Lumpur, dijadualkan pada 17 hingga 19 Sept tahun depan, dengan capaian ke 20 negara.

Selain itu, katanya Menteri Digital Gobind Singh Deo diiktiraf atas kepimpinannya dalam memacu pemikiran digital semasa lawatannya ke Sepanyol.

Gobind melancarkan Pavilion Malaysia di SCEWC 2024 dalam lawatan kerjanya dari 4 hingga 7 Nov, menekankan komitmen Malaysia untuk menjadi pemain penting dalam ekosistem bandar pintar global.

Pempamer yang ditemu bual oleh Bernama di SCEWC turut menyatakan minat yang tinggi untuk menyertai Ekspo Bandar Pintar Kuala Lumpur.

Pengurus Pemasaran Toulouse Team Invest Maiwenn Sauveire berkata hab aeroangkasa Perancis boleh menjadi batu loncatan kepada syarikat Malaysia yang ingin berkembang ke Eropah.

“Diharapkan, kami akan mempunyai gerai pameran di Kuala Lumpur berikutan ekspo SCE adalah amat penting.

“Ia akan menjadi peluang yang baik bagi Malaysia untuk mengetahui lebih lanjut mengenai dinamik Toulouse dan meneroka bagaimana kami dapat menyokong syarikat di sana,” katanya. 

Toulouse Team Invest, cabang pembangunan ekonomi Toulouse Team, memberi tumpuan kepada menyokong syarikat Perancis dan antarabangsa dalam usaha mereka menubuhkan dan mengembangkan operasi mereka di bandar tersebut.

Sementara itu, Presiden Seoul Digital Foundation Kang Yosik menyambut baik jemputan Malaysia dan menyatakan keinginan untuk kembali ke Kuala Lumpur.

“Bandar pintar ialah platform digital yang menggunakan teknologi di kawasan bandar yang maju dan baharu untuk menyelesaikan isu-isu bandar dan meningkatkan kebahagiaan penduduk, yang memerlukan semua usaha dan rangkaian kita.

“Seoul turut menganjurkan acara bandar pintar, Smart Life Week (SLW). Kami berharap Seoul akan menyertai SCE Malaysia dan Malaysia menyertai SLW,” katanya.

Perbadanan Putrajaya, yang menyasarkan untuk mencapai status Visionary Smart City — Tahap Empat dalam pembangunan bandar—menjelang 2026, berharap untuk meneroka platform, teknologi dan hubungan perniagaan baharu bagi menyokong matlamatnya.

“Baru-baru ini, Putrajaya mencapai status Tahap 2 sebagai Developing Smart City, hanya dua minggu lepas dan kami amat berbangga dengan pencapaian ini,” kata Ketua Penolong Pengarah Unit Geospatialnya, Zabibah Samat.

Malaysia dijangka menerima lebih 2,000 delegasi dan 10,000 pengunjung ke SCE Kuala Lumpur, dengan sekurang-kurangnya 20 peratus dijangka daripada komuniti antarabangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan