KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Speed Mart) bagi suku ketiga yang berakhir pada 30 Sept, 2024 turun kepada RM107.16 juta berbanding RM111.05 juta pada suku yang sama tahun lepas.
Menurut 99 Speed Mart dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, perolehan kumpulan bagaimanapun melonjak 8.8 peratus kepada RM2.55 bilion berbanding RM2.34 bilion sebelumnya, didorong terutamanya oleh pengembangan rangkaian kedai berkenaan.
Dalam tinjauan suku semasa, kumpulan itu menyaksikan bilangan cawangan yang meningkat iaitu sebanyak 51, menjadikan jumlahnya kepada 2,697 cawangan setakat 30 Sept, 2024.
“Sejajar itu, jumlah transaksi jualan juga meningkat sebanyak 11.9 peratus tahun ke tahun kepada 120.2 juta transaksi pada suku semasa berbanding suku yang sama tahun lepas, walaupun ini sebahagiannya diimbangi oleh saiz bakul purata yang lebih rendah, yang menyusut sebanyak 2.8 peratus kepada RM21.20.
"Platform jualan pukal dalam talian kumpulan, yang dilancarkan pada Disember 2023, telah diperluaskan dari Lembah Klang ke selatan Semenanjung pada Julai 2024 selain telah mengukuhkan lagi impak positif platform ini yang menyumbang kira-kira RM7.4 juta dalam perolehan tambahan sepanjang suku ketiga 2024," katanya.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 Sept, 2024, keuntungan bersih 99 Speed Mart meningkat kepada RM365.84 juta berbanding RM293.69 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas manakala perolehan meningkat kepada RM7.39 bilion berbanding RM6.80 bilion sebelumnya.
Mengenai prospek, kumpulan itu berkata ia tetap teguh dalam usaha mengembangkan rangkaian cawangannya di seluruh negara dengan penekanan khusus kepada mengoptimumkan aliran peolehan dan meningkatkan kecekapan operasi.
"Faktor-faktor ini adalah penting dalam mendorong prestasi kewangan yang kukuh dan meningkatkan nilai pemegang saham.
“Ketika kami terus mengemudi kerumitan pasaran, tumpuan kekal kepada memupuk inovasi dan meningkatkan penglibatan pelanggan untuk memacu pertumbuhan yang mampan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial