KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia menyantuni kehidupan lebih suku juta kanak-kanak melalui inisiatif yang melibatkan pembiayaan lebih RM60 juta sejak penubuhannya 34 tahun lepas.
Setiausaha RMHC Malaysia Melati Abdul Hai berkata sejak penubuhan di Malaysia pada 1990, RMHC komited menyokong kanak-kanak kurang bernasib baik dan keluarga mereka menerusi program yang menumpukan kepada kesihatan, pendidikan dan kebajikan.
"Usaha ini mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi RMHC Malaysia untuk membantu kehidupan masyarakat dan menangani keperluan kanak-kanak dan keluarga di seluruh negara," katanya dalam ucapan pada sambutan ulang tahun ke-50 RMHC di sini hari ini.
RMHC melakar pencapaian penting tahun ini, meraikan 50 tahun melakukan perubahan dalam kehidupan kanak-kanak dan keluarga mereka di seluruh dunia dan 34 tahun penubuhan yang memberi kesan di Malaysia.
Pengarah Bersekutu RMHC Global, Operasi Lapangan untuk Asia Rachel Goh dalam ucapannya berkata RMHC komited dalam meluaskan sokongan terhadap keluarga bagi tempoh 50 tahun akan datang, termasuk di Malaysia.
"Sambil memandang ke hadapan, RMHC berazam untuk menggandakan impak di seluruh dunia untuk menyantuni lebih ramai keluarga yang memerlukan. Kami komited memastikan bahawa ketika waktu paling mencabar, setiap keluarga mempunyai sistem sokongan yang boleh dipercayai untuk bergantung, tidak kira di mana mereka berada," katanya.
Sementara itu, RHMC dalam kenyataan memaklumkan pusat kebajikan itu akan meluaskan sokongan di seluruh Malaysia Timur.
Susulan pelancaran Rumah Ronald McDonald di Sabah yang pertama baru-baru ini, rancangan diatur untuk menubuhkan Rumah Ronald McDonald di Sarawak yang kelima menjelang 2026.
Kemudahan baharu berhampiran Hospital Umum Sarawak di Kuching itu akan menyediakan penginapan kepada keluarga yang berdekatan dengan anak-akan mereka yang menerima rawatan perubatan sekali gus dapat mengurangkan beban perjalanan bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.
"Selain itu, RMHC Malaysia meningkatkan impaknya dengan pembukaan Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald ketiga di Sarawak dengan kerjasama Unit Pediatrik Hospital Umum Sarawak. Bilik terapi sensori baharu ini akan memberi perkhidmatan kepada lebih ramai keluarga yang mempunyai anak berkeperluan khas, menawarkan mereka akses kepada sokongan terapi khusus," menurut kenyataan itu.
Pada majlis berkenaan, RMHC Malaysia turut mengiktiraf penaja korporat yang setia memberi sumbangan hampir RM500,000 bersempena dengan ulang tahun ke-50 RMHC.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial