KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Straits Mobile Investment Pte Ltd, yang dimiliki sepenuhnya oleh ST Telemedia, bersetuju dengan penyelarasan strategik pemilikan pegangan sahamnya dalam U Mobile kepada 20 peratus daripada 49 peratus, sekali gus meningkatkan peratusan pemilikan tempatan.
Menurut U Mobile, pihaknya bersedia untuk menerajui rangkaian 5G kedua sejajar dengan keutamaan negara, melalui pengukuhan penglibatan dan penyertaan syarikat tempatan dalam infrastruktur telekomunikasi yang penting.
“Walaupun pemilikan oleh syarikat asing dalam sektor telekomunikasi merupakan perkara biasa, namun strategi U Mobile mengutamakan pertumbuhan ekonomi dan pengukuhan pemilikan oleh entiti tempatan.
“Peningkatan pemilikan tempatan ini menyokong dedikasi U Mobile kepada kepentingan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
U Mobile berkata pihaknya yakin rangkaian 5G yang kedua dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan lebih mampu milik untuk rakyat menerusi pengekalan persaingan yang sihat.
“U Mobile akan terus memperkenalkan produk dan perkhidmatan baharu, pada masa yang sama melancarkan rangkaian 5G kedua dan memberi jaminan kepada semua pihak berkepentingan bahawa ia akan terus disokong tanpa kebergantungan kepada kerajaan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial