EKONOMI > BERITA

Tarian Rakyat Tambah Elemen Kemeriahan Kepada Acara APEC Buat Kali Ketiga Di Peru

11/11/2024 09:26 AM

Daripada M. Saraswathi

LIMA (Peru), 11 Nov (Bernama) -- Penari rakyat dengan pakaian berwarna-warni dan mempamerkan persembahan yang bertenaga, menambah elemen kemeriahan untuk meraikan Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) dari 14 hingga 16 November ini di ibu kota negara Amerika Selatan itu. 

Perarakan tarian jalanan yang meriah iaitu “Saya” dan “Caporales”, ciri utama warisan budaya Peru, dipamerkan sepenuhnya sebelum berlangsung mesyuarat peringkat tinggi dan perbincangan oleh pemimpin APEC mengenai perdagangan bebas serantau pada minggu ini. 

“Kemeriahan sedemikian adalah tradisi sebenar Peru dan merupakan pemandangan biasa di ibu kota pada hujung minggu,” kata Wakil Kebudayaan Majlis Perbandaran Lima Daniel Romero kepada Bernama.

Lima, ibu negara Peru dengan populasi 11.36 juta, akan menjadi tuan rumah kepada mesyuarat APEC buat kali ketiga selepas 2008 dan 2016 serta berharap pertemuan pemimpin Asia Pasifik ini akan membantu dalam pemulihan ekonomi negara itu, terutamanya melalui sektor pelancongan.

Matlamat aktiviti seperti itu bukan sahaja untuk meraikan tradisi tetapi juga sebagai peringatan mengenai pentingnya memelihara dan mempromosikan budaya tempatan, kata Romero.

Bahasa yang paling banyak digunakan di Peru adalah bahasa Sepanyol.

“Kami mengalu-alukan semua orang untuk menikmati persembahan ini,” katanya, sambil menambah dengan AELW, jumlah penari dan peserta telah ditingkatkan untuk mempamerkan budaya tempatan kepada lebih 15,000 pengunjung, termasuk pegawai dan wartawan, yang berkumpul di sini.

Tarian “Saya” biasanya dipersembahkan dengan irama dram tradisional Afro-Peru seperti Cajon, alat perkusi kayu dan Djembe atau congas.

Sementara itu, menurut berita daripada pelbagai laman web, tarian “Caporales” berasal daripada komuniti Afro-Bolivia dan Andes.

Ia diinspirasikan daripada “Caporal” atau “penjaga”, individu yang mengawasi pekerja hamba Afrika yang bekerja di lombong dan ladang di Bolivia.

Tarian itu dipersembahkan dengan pergerakan kaki yang kuat, iaitu penari melakukan hentakan, tendangan dan pusingan yang pantas, dengan gerakan yang tepat.

Pakaian yang mempesonakan, rentak berirama dan tarian yang mengujakan, menarik perhatian penduduk tempatan dan pengunjung untuk sama-sama meraikan warisan budaya itu.

Selain persembahan jalanan seperti festival, pelbagai tempat di Lima sedang disediakan untuk sambutan bersempena dengan AELW.

Antara kawasan itu ialah runtuhan Pachacamac, terletak kira-kira 25 kilometer dari pusat bandar Lima, dikatakan sebagai satu daripada tapak arkeologi yang amat mengagumkan.

Terletak di daerah Miraflores, piramid Huaca Pucllana yang diperbuat daripada tanah liat dan adobe menawarkan perbezaan yang menarik dengan bangunan moden yang elegan mengelilinginya. 

Tapak ini berkemungkinan besar akan digunakan untuk sesi bergambar pemimpin APEC. Lokasi utama untuk AELW ialah Pusat Konvensyen Lima.

Ditanya mengenai Peru sebagai Pengerusi APEC pada 2024, Daniel berkata ia telah memberi banyak manfaat kepada negara, terutamanya dalam menarik pengunjung dan meningkatkan industri pelancongan.

Menteri Pelancongan Peru Elizabeth Galdo berkata lebih 50 peratus pelancong antarabangsa tahunan Peru adalah dari ekonomi APEC. 

Pada tahun ini, Peru menyasarkan untuk meningkatkan ketibaan pelancong antarabangsa kepada 4.4 juta daripada hanya 2.5 juta pada 2023 dan mencatatkan 48 juta perjalanan domestik, katanya pada Mesyuarat Menteri Pelancongan APEC pada Jun lepas.

Sasaran ini dianggarkan menjana kira-kira 1.5 juta pekerjaan dan meningkatkan sumbangan pelancongan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Peru kepada 4.0 peratus pada 2024. 

“Ketibaan pelancong ke Peru dari rantau Asia Pasifik menyumbang lebih 52 peratus daripada jumlah ketibaan, mewakili peningkatan sebanyak 50.6 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023,” kata Galdo. 

“Peningkatan ini mewakili hampir 69 peratus daripada paras sebelum pandemik untuk tempoh yang sama.”

Galdo berkata kubu Inca yang terletak di Machu Picchu yang terkenal di seluruh dunia dan penuh dengan misteri, 80 km barat laut Cusco dan terletak tinggi di Pergunungan Andes, menarik hampir satu juta pengunjung pada 2023, menjadikan Cusco antara pemacu pembangunan ekonomi yang paling penting di Peru.

Selain Machu Picchu, destinasi ikonik Peru yang lain termasuklah Colca Canyon, Rainbow Mountains, Nazca Lines dan bandar bersejarah Cusco itu sendiri.

Peru merupakan sebuah negara yang terletak di barat Amerika Selatan, bersempadan dengan Ecuador dan Colombia di utara dan Brazil di bahagian timurnya.

APEC merupakan forum antara kerajaan bagi 21 ekonomi anggota di Lingkaran Pasifik menggalakkan perdagangan bebas di seluruh rantau Asia Pasifik, mewakili hampir 40 peratus daripada populasi dunia, hampir separuh daripada perdagangan global dan lebih 60 peratus daripada ekonomi global.

Malaysia adalah antara 12 anggota pengasas APEC. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan