KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Indeks harga seunit keratan keluli dan logam bagi Oktober 2024 mencatat penurunan negatif 0.6 hingga negatif 4.9 peratus bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak berbanding bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan tertinggi dicatatkan di Perak (4.9 peratus) dan diikuti oleh Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (-2.0 peratus) manakala Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (-1.2 peratus).
“Indeks harga seunit besi juga susut negatif 0.4 peratus hingga negatif 3.2 peratus bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Selain itu, indeks harga seunit simen turut mencatat penurunan kecil negatif 0.1 peratus hingga negatif 0.7 peratus bagi beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak bagi Oktober 2024,” katanya dalam kenyataan Indeks Kos Bahan Binaan (IKB) Oktober 2024 hari ini.
Menjelaskan selanjutnya, Mohd Uzir berkata perbandingan tahunan bagi tempoh Oktober 2023 dan Oktober 2024 menunjukkan indeks harga seunit simen meningkat 0.2 peratus hingga 3.0 peratus bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Peningkatan tertinggi dicatatkan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (3.0 peratus) dan diikuti oleh Johor dan Pahang iaitu masing-masing pada 2.7 peratus.
“Purata harga simen (Ordinary Portland) kekal tidak berubah berbanding pada September 2024 dengan purata harga RM23.22 bagi setiap karung 50 kilogram,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata perbandingan tahunan indeks harga seunit besi mencatat penurunan negatif 0.8-4.2 peratus pada Oktober 2024 berbanding tempoh sama tahun lepas bagi beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Purata harga seunit besi merangkumi bar bulat keluli lembut dan bar cacat tekanan tinggi Mycon 60 mencatat penurunan kecil (-1.0 peratus) dengan purata harga RM3,631.58 bagi setiap tan metrik berbanding bulan sebelumnya (September 2024: RM3,667.96 setiap tan).
IKB yang turut merangkumi bar keluli mengikut kategori bangunan dan kawasan di Semenanjung Malaysia, merekodkan penurunan kecil negatif 0.1 peratus hingga negatif 3.0 peratus pada Oktober 2024 berbanding bulan sebelumnya.
Di Sabah, beliau berkata IKB termasuk bar keluli turut menunjukkan penurunan kecil negatif 0.1 peratus hingga negatif 0.6 peratus bagi hampir semua kategori bangunan kecuali bangunan kayu dan cerucuk kayu di Kota Kinabalu dan Sandakan manakala IKB bagi hampir semua kategori bangunan di Tawau pula tidak berubah.
Bagi Sarawak, IKB termasuk bar keluli pada Oktober 2024 merekodkan penurunan kecil negatif 0.2 peratus hingga negatif 1.6 peratus bagi hampir semua kategori bangunan di Kuching dan Miri.
“IKB termasuk bar keluli bagi hampir semua kategori bangunan di Sibu pula meningkat sedikit 0.8 peratus hingga 1.6 peratus,” katanya.
Beliau berkata di peringkat global, laporan Short Range Outlook oleh Persatuan Keluli Dunia (WSA) pada 14 Okt, 2024 mengunjurkan penurunan 0.9 peratus dalam permintaan keluli global pada tahun ini.
“Selepas tiga tahun susut, WSA menjangkakan pemulihan akan berlaku pada 2025 (tidak termasuk China), dengan permintaan diunjur meningkat sebanyak 1.2 peratus,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial