EKONOMI > BERITA

Wawasan Putrajaya APEC, Pelan Tindakan Aotearoa Pemacu Komuniti Dinamik Dan Inklusif

12/11/2024 07:38 PM

Daripada M. Saraswathi

PERU (Lima), 12 Nov (Bernama) -- Wawasan Putrajaya APEC 2040 dan Pelan Tindakan Aotearoa akan terus menjadi panduan bagi memacu forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke arah komuniti dinamik serta inklusif, kata Pengerusi Pegawai Kanan APEC Carlos Vasquez.

Pada 2020, para pemimpin APEC telah meluluskan Wawasan Putrajaya 2040  –  satu set keutamaan bagi tempoh 20 tahun akan datang untuk perkumpulan itu yang antara lainnya menekankan pertumbuhan berkualiti dengan manfaat serta kesejahteraan untuk semua.

Ini seterusnya diikuti oleh Pelan Tindakan Aotearoa yang menetapkan tindakan individu serta kolektif bagi mencapai wawasan itu serta bagaimana APEC dapat menilai kemajuannya.

“Secara bersama, sebagaimana kita akui, adalah mekanisme paling penting selain membuktikan tnggungjawab bersama.

“Elemen itu yang membolehkan forum ini untuk terus berkhidmat kepada negara-negara anggota secara berkesan selain menangani keutamaan hari ini serta matlamat yang disasarkan sewaktu penubuhan APEC kira-kira 35 tahun lepas,” katanya ketika mengalu-alukan kehadiran pegawai kanan dari 21 negara anggota APEC di sini, pada Isnin.

Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan itu berperanan sebagai pemula Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW), menyatukan kalangan wakil Asia Pasifik untuk melonjakkan keutamaan APEC 2024, termasuk perdagangan dan pelaburan bagi pertumbuhan inklusif, inovasi digital serta pembangunan mampan dan berdaya tahan.

Ketika ekonomi-ekonomi APEC mendepani pelbagai cabaran global - daripada perubahan iklim, ketidaksamaan ekonomi sehingga transformasi digital, APEC Peru 2024 menekankan kepentingan penyelesaian secara kerjasama bagi membentuk masa depan yang sejahtera serta berdaya tahan.

“Sejak mesyuarat pertama di Lima pada Disember lepas sehinggalah mesyuarat pertama peringkat menteri di Arequipa yang menyaksikan persetujuan awal mengenai perkara-perkara utama, kita telah bergerak seiringan dengan tekad dan komitmen terhadap nilai-nilai teras APEC," katanya.

Mesyuarat pada minggu ini misalnya bertujuan menyuntik hala tuju dasar yang lebih jelas untuk kalangan anggota APEC mewujudkan persekitaran bagi memudah cara perdagangan, memupuk penyepaduan ekonomi serantau dan pertumbuhan dipacu oleh teknologi, mewujudkan inovasi global dan penggajian selain mewujudkan kualiti kehidupan lebih baik untuk penduduk di serata Asia Pasifik.

Menyentuh kemajuan itu, Vasquez menyifatkannya sebagai hasil daripada usaha mampan bersama bagi setiap bidang keutamaan.

“Kita telah menyaksikan penerimaan inisiatif penting, daripada Matlamat Arequipa kepada Inisiatif Kewangan Mampan serta penyampaian utama dalam usaha pencegahan serta mengurangkan kehilangan dan pembaziran makanan, pembangunan hidrogen bersih, rendah karbon dan pemerkasaan komuniti yang paling banyak terdedah dalam ekonomi,” katanya.

Perbincangan itu telah dimulakan dengan kalangan anggota mengakui potensi transformatif perdagangan dan pelaburan dalam membentuk persekitaran perdagangan yang lebih inklusif.

Bersandarkan tumpuan yang terus ketara terhadap aspek pendigitalan, anggota juga menekankan kepentingan menggalakkan keterangkuman digital dan menyokong ekonomi yang beralih ke pasaran formal menerusi teknologi.

Sambil menegaskan kepentingan semua usaha itu, beliau berkata : “Secara bersama, kita terbukti berjaya menangani cabaran sukar menerusi kaedah yang mengukuhkan ketahanan APEC dan meletakkan kita dalam kedudukan bagi memenuhi keperluan ekonomi kita.”

Selain itu, aspek pertumbuhan mampan terus kekal sebagai teras agenda APEC.

Dalam menyokong kemajuan ekonomi, beliau berkata, kalangan anggota mengakui kepentingan hasil serta inisiatif bagi mengurangkan kehilangan makanan, menggalakkan penyelesaian tenaga rendah karbon serta keterangkuman kewangan.

Seiring perbincangan yang dijangka dimuktamadkan dengan penekanan kepada usaha bersama, negara-negara anggota menegaskan komitmen bagi mewujudkan komuniti Asia Pasifik yang padu dan saling berkaitan.

“Dalam kapasiti APEC Peru 2024 dan menghampiri hari-hari paling intensif dalam agenda tahun ini, saya berharap perbincangan minggu ini akan diteruskan dalam semangat libat urus yang konstruktif serta tujuan yang sama.

“Mari kita tegaskan semula komitmen terhadap forum ini yang tidak hanya bagi tujuan memperkasa, tetapi juga membina Asia Pasifik yang kukuh demi generasi akan datang,” katanya.

Mesyuarat pegawai kanan pada 11-12 November ini akan disusuli dengan Mesyuarat Menteri-Menteri APEC pada 14 November dengan perbincangan serta hasilnya akan menjadi asas bagi Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC pada 15-16 November.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan