EKONOMI > BERITA

Hartalega Catat Penurunan Dalam Untung Bersih Suku Kedua Kepada RM8.63 Juta

12/11/2024 04:10 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Hartalega Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah kepada RM8.63 juta bagi suku kedua berakhir 30 Sept, 2024 (tahun kewangan 2025) daripada RM27.70 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Kumpulan berkenaan berkata kemerosotan dalam keuntungan bersih pada suku kedua disebabkan oleh kos bahan mentah yang lebih tinggi dan turun naik pertukaran asing.

Hasil bagaimanapun, adalah lebih tinggi kepada RM652.07 juta daripada RM452.09 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas yang disebabkan oleh peningkatan dalam jumlah jualan, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bagi separuh pertama tahun kewangan 2025, kumpulan itu kembali mencatat untung dengan keuntungan bersih sebanyak RM40.55 juta berbanding kerugian bersih RM24.77 juta setahun lalu, manakala pendapatan melonjak kepada RM1.24 bilion daripada RM892.12 juta sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Hartalega Kuan Mun Leong berkata kumpulan itu telah memulakan operasi komersial untuk beberapa barisan pengeluaran baharu dalam projek pembesaran Kompleks Pengilangan Sarung Tangan Generasi Akan Datang (NGC) 1.5 di Sepang.

"Kemudahan canggih ini yang berupaya meningkatkan kecekapan pengeluaran, mencerminkan komitmen kami kepada kecemerlangan operasi dan mengukuhkan kedudukan kami untuk memanfaatkan peluang pasaran baharu.

"Kami telah mengambil pendekatan berhati-hati untuk mengaktifkan barisan pengeluaran baharu, memastikan perkembangan kami sejajar dengan dinamik pasaran," katanya.

Kuan berkata pelaburan strategik Hartalega untuk meningkatkan keupayaan pengilangan termaju dan kecekapan operasi telah meletakkan asas yang kukuh bagi mencapai pertumbuhan jangka panjang yang mampan.

"Pelan strategik lima tahun kami yang mantap terus memacu kami ke hadapan dengan penekanan pada kemajuan teknologi, usaha pengoptimuman kos serta komitmen teguh terhadap kecemerlangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

"Permintaan bagi produk penjagaan kesihatan global tetap kukuh dan kami telah meletakkan Hartalega pada kedudukan strategik untuk merebut peluang dalam pemulihan pasaran," tambahnya.

Sementara itu, kumpulan berkenaan juga mengisytiharkan dividen satu peringkat pertama 0.56 sen sesaham yang perlu dibayar pada 11 Dis, 2024.

Pada 2.47 petang, harga saham Hartalega naik empat sen kepada RM3.25 sesaham. Sebanyak 6.56 juta saham diniagakan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan