EKONOMI > BERITA

Forest City Berada Dalam Kedudukan Terbaik Sebagai Hab Perniagaan Dan Pelaburan Utama - Country Garden

12/11/2024 07:55 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Forest City di Johor bakal menjadi hab strategik untuk perniagaan dan pelabur, disokong oleh jaringan pengangkutan udara dan laut serta berperanan mewujudkan pertumbuhan ekonomi dan kemampanan, menurut pemaju dari China, Country Garden Group.

Ketua Pegawai Kewangan Country Garden Malaysia dan Singapura Kevin Li berkata ia berpotensi menjadi hab utama, menggabungkan inisiatif kewangan, kediaman dan mesra alam untuk memainkan peranan utama dalam masa depan ASEAN.

“Satu asas pembangunan Forest City ialah visinya yang bercita-cita tinggi untuk hab pelbagai guna, dijenamakan sebagai Pulau Eko, Pulau Selamat, Pulau Kewangan, Pulau Pintar dan Pulau Bebas Cukai.

"Visi ini menggabungkan pengawasan alam sekitar dengan kemajuan dalam kewangan, teknologi dan inovasi digital, menjadikannya lokasi ideal untuk penduduk dan perniagaan," katanya semasa sesi pembentangan di National Conference of Trust 2024.

Li menafikan tanggapan bahawa Forest City adalah "bandar hantu" (bandar tanpa penghuni) dan memberitahu bahawa lebih 10,000 orang menetap di sana ketika ini.

"Pada 2023, kami menerima lebih daripada empat juta pelancong ke bandar ini," katanya.

Li menekankan bahawa Zon Kewangan Khas Forest City adalah sebahagian daripada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan menawarkan persekitaran direka khusus untuk perkhidmatan kewangan.

"Zon ini menyasarkan institusi kewangan, pejabat milik keluarga dan pelabur dengan insentif menarik seperti pengecualian cukai sehingga 20 tahun dan rangka kerja kawal selia yang fleksibel," katanya.

Beliau berkata institusi kewangan asing boleh menubuhkan cawangan di Forest City dengan kadar sekatan pelesenan lebih rendah manakala perniagaan dan pelabur mendapat manfaat daripada insentif seperti pengecualian cukai korporat, potongan kos penempatan semula dan kelebihan lain sekali gus memupuk ekosistem ideal untuk pertumbuhan kewangan.

Malaysia mahu mempromosikan pejabat milik keluarga tunggal, ia juga merupakan tarikan utama dengan proses diperkemaskan, keperluan kakitangan minimum dan cukai korporat sifar untuk pejabat keluarga, katanya.

“Pada masa depan, Forest City merancang menjalankan projek tebus guna tanah dan mewujudkan pusat perkhidmatan sehenti untuk pelabur,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan