EKONOMI > BERITA

Bank Islam, PMB Investment Bentuk Pakatan Strategik Perluaskan Peluang Pelaburan Patuh Syariah

12/11/2024 08:19 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- PMB Investment Bhd dan Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk mewujudkan kerjasama strategik yang bertujuan mengembangkan peluang-peluang dalam pelaburan patuh syariah.

Di bawah MoU berkenaan, BIMB telah dilantik sebagai penasihat unit amanah institusi (IUTA) untuk mempromosi dan mengedarkan dana-dana unit amanah PMB Investment di seluruh Malaysia.

Pengerusi PMB Investment Datuk Mohd Idzwan Izuddin Ab Rahman berkata sebagai IUTA kelapan dalam rangkaian pengedaran PMB Investment, BIMB akan memanfaatkan rangkaian cawangannya yang luas untuk memasarkan dan mengedarkan lima dana unit amanah PMB Investment.

Pada mulanya, dana-dana itu ialah PMB Dana Al-Aiman, PMB Dana Besari, PMB Shariah Index Fund, PMB Shariah Equity Fund dan PMB Shariah Cash Management Fund.

Melalui rangkaian pengedaran BIMB yang meluas, PMB Investment menyasarkan untuk mengakses peluang-peluang baharu dan mengembangkan pangkalan pelaburnya di seluruh Malaysia, kata Mohd Idzwan Izuddin.

“Dengan menawarkan dana-dana ini, pelanggan BIMB mendapat akses kepada pelbagai pilihan pelaburan yang disesuaikan dengan matlamat kewangan mereka dan memberikan mereka pilihan dalam pelaburan patuh syariah yang lebih luas.

"Kami juga menjangkakan langkah ini akan menyumbang kepada kira-kira 10 hingga 20 peratus dalam jualan bagi setiap produk," katanya di majlis menandatangani MoU berkenaan hari ini.

Kerjasama itu juga dijangka membantu PMB Investment mencapai sasaran RM2.0 bilion untuk aset di bawah pengurusan (AUM) menjelang 2025, katanya.

“Kerjasama ini adalah satu langkah penting ke arah mewujudkan ekosistem kewangan yang holistik. Kekuatan kami yang digabungkan ini adalah untuk memperkasakan individu sambil memenuhi keperluan pelaburan patuh syariah mereka," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan BIMB Group Mizan Masram berkata bank itu menyasarkan untuk menyediakan pelanggan dengan pelbagai pilihan pelaburan yang boleh diakses dan selaras dengan matlamat kewangan dan prinsip-prinsip Islam.

"Kepelbagaian ini menandakan satu langkah penting dalam mengukuhkan komitmen kami terhadap keterangkuman kewangan dan memperkasakan pelanggan dengan pilihan pelaburan yang menyokong pertumbuhan jangka panjang," tambah Mizan.

Pada masa ini, lima dana itu tersedia melalui kesemua 135 cawangan BIMB di seluruh negara.

PMB Investment merupakan sebuah syarikat pengurusan dana Islam di bawah Pelaburan MARA Bhd yang menjadi perintis dalam pengurusan unit amanah sejak 1967.

Sejak diiktiraf sebagai Syarikat Pengurusan Dana Islam (IFMC) pada 2015, ia menguruskan portfolio yang pelbagai, termasuk 19 dana unit amanah merentas kelas-kelas aset seperti ekuiti, sukuk dan dana global serta dana berasaskan wakaf.

Pelabur boleh mula melabur melalui cawangan BIMB, portal dalam talian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau dengan menggunakan EZForm di laman web PMB Investment, www.pmbinvestment.com.my, dengan pilihan pemindahan dana FPX yang mudah.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang dana-dana yang ditawarkan, termasuk yuran dan pertimbangan risiko, lawati www.pmbinvestment.com.my atau hubungi 03-4145 3900.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan