EKONOMI > BERITA

Malaysia Akan Lancar Bidaan TBB Rentas Sempadan Bagi Singapura Pada Akhir Tahun - Fadillah

13/11/2024 07:38 PM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Bidaan tenaga boleh baharu (TBB) rentas sempadan Malaysia bagi pengimport tenaga Singapura, di bawah Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) akan bermula menjelang akhir tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, melalui usaha menyepadukan grid kuasa serantau, negara menyasarkan untuk mengukuhkan jaminan tenaga di seluruh negara anggota ASEAN.

“Seterusnya bagi grid bersepadu serantau, ia juga boleh berfungsi sebagai pemangkin ekonomi dalam memupuk kerjasama serantau melalui perdagangan tenaga boleh baharu rentas sempadan.

“Dengan berkongsi lebihan tenaga, negara boleh mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil sambil membina infrastruktur tenaga ASEAN bersepadu,” katanya semasa berucap pada acara Sustainability Environment Asia (SEA) kedua 2024.

Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) turut mengesahkan penjanaan arang batu akan dihentikan secara berperingkat dan tiada loji janakuasa arang batu baharu akan dibina.

Menurutnya, sejajar dengan pendirian jelas Agensi Tenaga Antarabangsa bahawa usaha mengurangkan pergantungan terhadap arang batu penting untuk mengehadkan pemanasan global, Malaysia komited untuk mencapai objektif ini.

“Kami akan terus meningkatkan fleksibiliti grid dengan melabur dan membangunkan grid pintar, mendigitalkan sistem kuasa dan mengembangkan sistem simpanan tenaga.

“Menjelang 2035, kami menyasarkan untuk meningkatkan fleksibiliti grid sebanyak 20 peratus, membolehkan penyepaduan lebih besar sumber TBB,” katanya.

Di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional, kerajaan menyasar untuk meningkatkan sumbangan TBB kepada kapasiti kuasa terpasang Malaysia kepada 70 peratus menjelang 2050, meningkat daripada 28 peratus ketika ini.

Sementara itu, beliau menggariskan rancangan untuk menstruktur semula perkhidmatan air Malaysia dalam dekad akan datang dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Persatuan Air Malaysia.

“Sehingga 2023, 97.1 peratus kawasan bandar dan luar bandar mempunyai akses kepada bekalan air, manakala perkhidmatan pembetungan meliputi 86.9 peratus bandar utama.

“Melalui Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM) Malaysia menyasarkan 98 peratus liputan air bersih luar bandar dan 31 peratus kadar air bukan hasil menjelang 2025,” katanya.

Menurutnya, Malaysia terus komited untuk memupuk persekitaran yang sihat, memacu kemakmuran ekonomi, dan meningkatkan kualiti hidup untuk rakyatnya dan generasi akan datang.

Beliau berkata ketika negara berusaha ke arah mencapai matlamat karbon sifar bersihnya menjelang 2050, penting untuk memanfaatkan setiap peluang untuk mengemudi transformasi yang mampan dan menerima ekonomi bulat.

"Saya mempelawa perniagaan untuk bekerjasama dengan kerajaan dan meneroka semua pilihan kerjasama," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan