JAKARTA, 13 Nov (Bernama) -- KPJ Healthcare Bhd membuka pejabat perwakilannya yang kelima di Indonesia terletak di Pekanbaru, Provinsi Riau pada Selasa, menurut Konsulat Malaysia Pekanbaru.
Penyedia penjagaan kesihatan itu sebelum ini telah beroperasi melalui pejabat perwakilan di Banda Aceh, Batam, Bengkalis dan Pontianak.
Konsul Mohammed Hosnie Shahiran Ismail berkata keputusan KPJ Healthcare untuk melebarkan sayapnya di Pekanbaru merupakan satu keputusan tepat dan strategik.
“Indonesia merupakan pasaran yang utama dan penting bagi Malaysia dalam sektor pelancongan kesihatan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Kehadiran KPJ Healthcare di Pekanbaru disambut baik pemerintah Provinsi Riau kerana dapat meningkatkan kerjasama dalam bidang perkhidmatan kesihatan melalui perkongsian amalan terbaik, tambahnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran KPJ Healthcare Sherene Azli berkata masyarakat di Pekanbaru akan menikmati perkhidmatan termasuk urusan penyelarasan perundingan, mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan KPJ Healthcare serta penyelarasan logistik seperti pengangkutan dan penginapan sebelum ke Malaysia.
“Sehingga September 2024, KPJ Healthcare telah merawat lebih 60,000 pesakit warganegara Indonesia menerusi 29 buah Hospital KPJ Healthcare yang terdapat di setiap negeri di Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial