EKONOMI > BERITA

Untung Bersih Suku Ketiga Johor Plantations Naik Kepada RM77.11 Juta

13/11/2024 07:36 PM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Johor Plantations Group Bhd mencatatkan peningkatan dalam keuntungan bersihnya kepada RM77.11 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2024 (S3 2024) daripada RM68.28 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, ia berkata hasil meningkat 18.3 peratus kepada RM404.13 juta pada S3 2024 daripada RM341.59 juta sebelumnya yang disebabkan peningkatan hasil daripada penjualan minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK).

“Hasil kami daripada penjualan MSM meningkat 16 peratus kepada RM339.46 juta pada S3 2024, berbanding RM292.54 juta yang dicatatkan pada suku yang sama sebelumnya, disebabkan harga jualan dan jumlah penghantaran MSM yang lebih tinggi.

“Manakala hasil kami daripada penjualan PK meningkat sebanyak 36.5 peratus kepada RM61.43 juta pada S3 2024, berbanding RM44.99 juta yang dicatatkan pada suku yang sama sebelumnya yang disebabkan oleh harga jualan dan jumlah penghantaran PK yang lebih tinggi,” katanya.

Bagi sembilan bulan berakhir 30 Sept, 2024, keuntungan bersih kumpulan meningkat kepada RM176.82 juta daripada RM104.33 juta sebelumnya, manakala hasil lebih tinggi kepada RM1.06 bilion berbanding RM861.18 juta sebelumnya.

Mengenai prospek dan sasaran, kumpulan itu berkata harga MSM kekal berdaya tahan pada suku ketiga, diniagakan antara RM3,800 satu tan dan RM4,200 satu tan, walaupun paras inventori lebih tinggi yang meningkat sebanyak 6.9 peratus bulan ke bulan kepada 2.01 juta tan sehingga akhir September 2024.

“Dalam beberapa bulan akan datang, harga MSM mungkin dipengaruhi oleh dinamik penawaran dan permintaan minyak sawit di Malaysia dan Indonesia, keadaan cuaca serantau dan implikasi Belanjawan Malaysia 2025 terhadap industri perladangan,” katanya.

Kumpulan itu turut percaya industri perladangan mengalu-alukan keputusan Suruhanjaya Eropah untuk menangguhkan Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) selama 12 bulan, kerana ia memberikan industri yang terjejas lebih masa untuk mematuhi keperluan perniagaan dan memudahkan peralihan yang lebih lancar.

“Bagaimanapun, ketegangan geopolitik terutamanya di Timur Tengah dijangka memberi kesan turun naik harga MSM dalam tempoh terdekat,” tambahnya.

Berdasarkan tanpa sebarang keadaan yang diluar dijangka, kumpulan mengunjurkan prestasi bagi tahun kewangan adalah memuaskan.

Lembaga pengarahnya turut mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 1.25 sen sesaham bagi suku tersebut, yang perlu dibayar pada 17 Dis, 2024.

Sementara itu, dalam satu kenyataan Pengarah Urusannya Mohd Faris Adli Shukery berkata kumpulan itu akan menumpukan kepada pembangunan aliran pendapatan baharu yang akan direalisasikan melalui pembinaan Kompleks Minyak Sawit Mampan Bersepadu, menandakan penglibatannya dalam segmen hiliran.

“Sebagai sebahagian daripada usaha niaga ini, kami membuat pelaburan besar dengan kerjasama Fuji Oil Group dari Jepun untuk membina kilang penapisan yang mampu menghasilkan minyak dan lemak khusus bernilai tinggi.

“Dengan kewujudan pasaran yang kukuh untuk produk yang mampan dan berkualiti, kilang penapisan hiliran ini melengkapkan reputasi pasaran sedia ada kami dengan memberikan akses kepada pasaran minyak dan lemak khusus, memberikan margin tambahan kepada kumpulan,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan