PUTRAJAYA, 13 Nov (Bernama) -- Malaysia mahu memastikan industri pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) dimulakan secepat mungkin di tengah-tengah persaingan yang semakin meningkat dari negara lain, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Beliau berkata kerajaan telah mengadakan libat urus dan berbincang dengan Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak membabitkan tapak CCUS yang telah dikenal pasti, diikuti oleh negeri-negeri selebihnya.
Hab CCUS tidak dibangunkan secara berasingan dan Malaysia juga menghadapi persaingan dari negara lain seperti Indonesia, katanya.
"Pelaburan untuk CCUS dan tempahan kapasiti adalah satu proses kitaran. Seperti yang anda boleh bayangkan, jika Jepun mahukan kapasiti penyimpanan, ia akan untuk jangka panjang, (seperti) 15-20 tahun.
“Ini bermakna jika anda terlepas peluang ini, penyimpanan akan pergi ke tempat lain,” kata Rafizi semasa taklimat media mengenai inisiatif CCUS di Malaysia hari ini.
Beliau berkata berdasarkan kepada libat urus dan perbincangan, semua negeri berpendapat yang sama dengan kerajaan Persekutuan.
“Apa yang kita lakukan sekarang ialah untuk membolehkan rang undang-undang Persekutuan selaras dengan undang-undang sedia ada di Sarawak untuk memastikan ia saling melengkapi.
"Objektifnya kini adalah untuk melaksanakan projek itu secepat mungkin," katanya.
Rafizi berkata lebih banyak negara termasuk rakan dagangan Malaysia akan melaksanakan langkah pengurangan karbon secara fiskal dan bukan fiskal dan ini sudah berlaku di Eropah.
Rang Undang-Undang CCUS akan dibentangkan di Parlimen pada Disember tahun ini dan dijangka diwartakan pada akhir Disember.
Sebagai sebuah negara perdagangan, industri domestik Malaysia yang mengeksport barangan ke seluruh dunia akan dikenakan cukai karbon yang mungkin sebagai hukuman dan sehubungan itu, permintaan untuk menyahkarbon akan meningkat, kata Rafizi.
Beliau menegaskan negara juga akan memerlukan simpanan karbon untuk mengurangkan pelepasan karbon terutamanya daripada industri tempatan dan sektor yang sukar mengurangkan karbon seperti simen, keluli dan petrokimia.
"Itu sudah tentu. Saya rasa dalam beberapa tahun pertama, sebahagian daripada kapasiti akan digunakan, kemungkinan besar oleh Petronas.
"Tetapi pada masa hadapan, sama ada kita suka atau tidak kita harus menerima bahawa krisis iklim adalah benar," katanya.
Rafizi berkata petunjuk awal menunjukkan suhu global telah meningkat sebanyak 1.0 darjah dan tumpuan seluruh dunia untuk mengurangkan perubahan iklim akan meningkat.
Sektor yang sukar mengurangkan pelepasan karbon di Malaysia dijangka menyumbang antara 8.0 peratus dan 19 peratus daripada pelepasan karbon dioksida menjelang 2050 dan CCUS akan membolehkan sektor itu mengekalkan daya saingnya pada masa hadapan.
Malaysia berpotensi menjadi hab serantau CCUS. Tapak penyimpanan karbon dioksida yang berpotensi dianggarkan melebihi 150 gigatonne, yang mana 13.3 gigatonne berasal dari takungan minyak dan gas yang habis dan 140 gigatonne daripada akuifer masin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial