Daripada M.Saraswathi
LIMA (Peru), 14 Nov (Bernama) — Malaysia berharap dapat menyumbang dalam usaha pembangunan infrastruktur di Pelabuhan Chancay yang terletak kira-kira 80 kilometer ke utara Lima, ibu negara Peru, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata dengan memanfaatkan infrastruktur pelabuhan baharu itu, akan turut membawa kepada kewujudan ekosistem halal di Peru, sekali gus menjadikan negara berkenaan sebagai pintu masuk bagi produk-produk Malaysia ke Amerika Selatan.
“Kita menyedari kepentingan Pelabuhan Chancay yang baru dibangunkan ini. Oleh itu, Malaysia berharap dapat menyumbang kepada pembangunan infrastruktur di pelabuhan ini,” kata beliau selepas mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Peru Dina Ercilia Boluarte Zegarra, di Istana Kerajaan di sini, pada Rabu (waktu tempatan).
Perdana Menteri sebelum itu turut diberi sambutan negara di Istana Kerajaan Peru.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, dalam rangka lawatan rasmi ke negara Amerika Selatan itu, termasuk bagi menyertai Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik atau APEC (AELM) kali ke-31 dari 14-16 Nov, 2024.
Perdana Menteri yang tiba di sini pada 12 November lepas, diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Mengikut laporan, kompleks Pelabuhan Chancay bernilai US$3.5 bilion itu dijangka menjadi hab utama bagi perdagangan antara Amerika Selatan serta China dan pelabuhan mega itu turut mendapat suntikan pembiayaan dari Beijing.
Mengulas selanjutnya, Anwar berkata pertemuan dengan pemimpin Peru itu adalah susulan daripada pertemuan pertama mereka di luar Minggu Pemimpin Ekonomi APEC di San Francisco, Amerika Syarikat pada November 2023.
“Oleh itu, saya gembira dapat bertemu semula Presiden di Lima untuk meneruskan perbincangan. Ini juga merupakan lawatan pertama saya ke rantau ini sejak memegang jawatan ini," kata beliau.
Sambil menekankan kepentingan Peru sebagai rakan dagang penting untuk Malaysia, Perdana Menteri berkata kedua-dua negara turut memanfaatkan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dalam usaha meningkatkan perdagangan dua hala serta mencapai pertumbuhan ekonomi.
Nilai perdagangan antara Malaysia dan Peru bagi tempoh Jan-Julai 2024 berjumlah RM1.16 bilion, meningkat 36.3 peratus daripada RM847.7 juta dalam tempoh sama pada 2023.
Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan komitmen Malaysia untuk terus mengukuhkan hubungan dua hala dan ekonomi dengan Peru.
“Lawatan saya ke Peru ini adalah bukti komitmen ini. Kita telah berbincang secara panjang lebar yang menyentuh pelbagai aspek potensi kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan, pembangunan infrastruktur, industri halal, pertanian, keselamatan makanan dan hubungan rakyat (kedua-dua negara)," kata beliau.
Terdahulu, Anwar dan Dina Ercilia menyaksikan pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU), termasuk antara Halal Development Corporation (HDC) dan Suruhanjaya Penggalakan Eksport dan Pelancongan Peru (PROMPERU).
MoU kedua membabitkan kerjasama pertanian antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Institut Inovasi Pertanian Negara (INIA) manakala memorandum ketiga antara Taylor’s University dan Pusat Latihan Pelancongan Peru (CENFOTUR) berkaitan kerjasama dalam gastronomi.
“Kesemua MoU ini memaparkan komitmen pelbagai pihak berkepentingan untuk mengukuhkan lagi kerjasama antara Malaysia dan Peru.
“Kita yakin apabila ini dimuktamadkan kelak, MoU itu dapat memudah cara penglibatan lebih ketara bagi kedua-dua negara,” kata beliau.
Selain itu, Perdana Menteri juga menyifatkan APEC, dengan Malaysia antara 12 negara pengasas penubuhan APEC, akan terus menjadi forum yang penting.
Atas alasan itu, kata beliau, Malaysia terus komited dalam melonjakkan kerjasama ekonomi, menggalakkan kemakmuran bersama dan memupuk pembangunan inklusif di serata rantau Asia Pasifik.
Peru yang terletak di barat Amerika Selatan, bersempadan dengan Ecuador dan Colombia di bahagian utara serta Brazil di bahagian timur benua itu.
Lima yang mempunyai penduduk seramai 11.36 juta orang, menjadi tuan rumah mesyuarat APEC buat kali ketiga selepas 2008 dan 2016.
APEC merupakan forum antara kerajaan merangkumi 21 negara anggota di Lingkaran Pasifik yang menggalakkan perdagangan bebas di Asia Pasifik.
Ia mewakili hampir 40 peratus daripada penduduk dunia, hampir separuh daripada perdagangan global serta 60 peratus ekonomi global.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial