EKONOMI > BERITA

PM Anwar Gesa Kerjasama Lebih Kukuh Dengan Selatan Global, Manfaatkan Potensi

14/11/2024 12:05 PM

Daripada M.Saraswathi

LIMA (Peru), 14 Nov (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menekankan kepentingan mengukuhkan hubungan dengan negara-negara Selatan Global yang mempunyai potensi serta peluang baharu yang boleh dimanfaatkan.

Ketika berkongsi pandangan dengan pemimpin industri dari Malaysia dan Peru di sini pada Rabu (waktu tempatan), beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan peralihan itu penting memandangkan sejarah atau tumpuan sebelum ini hanya membabitkan segelintir atau kumpulan negara tertentu.

Bagaimanapun, kata Perdana Menteri, perubahan dinamik global pada masa ini membuktikan keperluan untuk bertindak memperluas pandangan serta mempelbagaikan pakatan.

“Adalah penting untuk mengubah sedikit haluan dan meningkatkan kerjasama dengan Selatan Global, meninjau peluang dan potensi baharu yang luas ini,” kata beliau ketika berucap merasmikan sesi meja bulat dengan kumpulan pemimpin industri Malaysia dan Peru.

Perdana Menteri kini dalam rangka lawatan rasmi ke negara Amerika Selatan itu, termasuk bagi menyertai Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) kali ke-31 dari 14-16 Nov, 2024.

Turut hadir, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Selain itu, Anwar juga menegaskan walaupun Amerika Syarikat kekal sebagai pelabur utama Malaysia, Putrajaya turut menjalin hubungan perdagangan yang kukuh dengan China, "dan kita bekerjasama secara berkesan dalam pelbagai bidang. Inilah caranya untuk mencapai kemajuan.

“(Pada masa sama tindakan) kita juga tidak boleh ditentukan oleh mana-mana pihak; sebaliknya, kita perlu berpandukan apa yang terbaik untuk negara sepertimana yang diinginkan rakyat.”

“Saya yakin Malaysia dan Peru berkongsi perspektif sama. Kita perlu kekal terbuka dan berkecuali. Di ASEAN, ini digelar sebagai pemusatan.”

Perdana Menteri juga menganggap Malaysia dan Peru berkongsi kebimbangan sama memandangkan kedua-dua negara mempunyai penduduk berbilang kaum selain sentiasa berusaha membawa perubahan di negara masing-masing.

“Dasar Peru menumpukan peralihan tenaga, alam sekitar, pelbagai hala selain pelaburan, perdagangan, tadbir urus dan usaha antirasuah.

“Kesemua bidang ini adalah kritikal dan saya berkongsi pandangan bahawa sekarang adalah masanya untuk mengambil tindakan yang konkrit,” kata beliau.

Selain itu, Anwar juga menyifatkan pelarasan beberapa dasar antara Malaysia dan Peru sebagai menggalakkan berikutan kedua-dua negara berkongsi kapasiti sebagai anggota Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

“Kita juga dihubungkan menerusi ASEAN dan APEC,” kata beliau.

Sementara itu, Perdana Menteri turut merasmikan kemudahan solar -- Matarani Solar Park milik Yinson Holdings Bhd di Peru.

Yinson Renewables telah menyelesaikan pengambilalihan Projek Solar Matarani berkapasiti 97 megawatt puncak (MWp) di Peru daripada Grenergy Renewables yang juga penjana tenaga bebas antarabangsa, pemaju dan syarikat kejuruteraan, perolehan dan pembinaan dengan rekod prestasi kukuh di Amerika Selatan.

Projek itu terletak di kawasan gurun Mollendo di wilayah Arequipa yang juga antara kawasan penyinaran solar yang tertinggi dunia.

Sebahagian besar daripada kontrak projek tenaga adalah menerusi perjanjian pembelian kuasa (PPA) dengan tempoh untuk 15 tahun akan datang.

Projek Matarani baru-baru ini memasuki fasa operasi komersial dengan menyuntik kira-kira 260 gigawatt jam (GWh) tenaga boleh baharu ke dalam grid tenaga Peru setahun dan mencukupi untuk memenuhi keperluan tenaga kira-kira 62,000 isi rumah Peru selain membantu mengelak pelepasan lebih 56,000 tan karbon dioksida setahun.

Mesyuarat Meja Bulat dengan pemimpin industri dan perniagaan menjadi platform delegasi negara menerangkan peluang perdagangan dan pelaburan di Malaysia kepada syarikat dari Amerika Selatan terutamanya syarikat dari Peru untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai dasar Malaysia khususnya dalam perkara seperti peralihan tenaga, kelestarian dan pensijilan halal.

Ia dihadiri 22 wakil daripada 20 organisasi, termasuk konglomerat terkenal Peru seperti Grupo Romero, Grupo Armejo Yepez dan Grupo Molicom. Terdapat juga wakil daripada Pihak Berkuasa Pelabuhan Negara Peru dan Dewan Perniagaan Kebangsaan. 

Mesyuarat membincangkan strategi untuk memanfaatkan CPTPP memandangkan kedua-dua negara merupakan ahli dalam perjanjian ini serta potensi kerjasama dalam logistik maritim termasuk pengurusan pelabuhan.

Sepanjang mesyuarat berlangsung, syarikat Peru menunjukkan minat khusus terhadap keupayaan Malaysia mengeksport produk seperti peralatan dan produk perubatan, bahan binaan berkaitan keluli dan kaca serta produk barangan pengguna.

Sementara itu, Yinson Group dalam satu kenyataan meraikan usaha sama baharu syarikat itu dalam sektor tenaga boleh baharu di Peru dengan pembukaan ladang solar kedua terbesar di Peru iaitu di Arequipa. 

Menurut kumpulan itu, peningkatan perdagangan antara Malaysia dan Peru yang ketara merupakan manifestasi kesungguhan negara bagi memudah cara perdagangan dua hala dengan pelaksanaan dasar yang jelas serta penekanan kepada memudah cara perniagaan yang diamalkan demi manfaat rakyat dan hubungan baik kedua-dua negara.

“Kerjasama ini merupakan satu bentuk usaha sama Selatan Global yang bukan sahaja dalam bidang ekonomi malah dalam membentuk masa depan lestari yang akan memanfaatkan negara dan rakyat Malaysia serta Peru,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan