KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Kementerian Ekonomi komited untuk memastikan keseluruhan kawasan fasa satu Kedah Rubber City (KRC) diduduki pihak industri dalam tempoh setahun, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Beliau berkata kemajuan pembangunan KRC sangat membanggakan, apabila kira-kira 20 peratus daripada kawasan fasa satu akan diduduki menerusi pemeteraian perjanjian pihak industri, di samping industri baharu yang besar akan menyertainya.
“Lebih kurang 40 peratus lagi kawasan KRC fasa satu sudah ada prospek (yang cerah). Saya yakin dalam tempoh setahun kita akan dapat penuhkan fasa satu justeru, membolehkan Kementerian Ekonomi menilai sama ada boleh membina atau menaik taraf jalan dari Padang Terap ke Alor Setar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Rafizi berkata Kementerian Kewangan (MOF) juga sedang merangka pakej insentif baharu bagi KRC.
Semasa mesyuarat exco Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) yang dipengerusikan beliau baru-baru ini, MOF sedia maklum bahawa pakej insentif sedia ada akan tamat pada 31 Dis, 2024, katanya.
“MOF sedang membangunkan pakej insentif baharu. Pakej insentif itu akan lebih menjurus kepada lokasi dan tumpuan kepada industri tertentu,” katanya.
Mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Anti Ali Baba, Rafizi berkata proses penyediaan draf akta itu masih dilaksanakan dan dijangka siap pada 2025.
“Oleh kerana tempoh masa kaji selidik sebenarnya panjang, dan melibatkan banyak perkara yang kita perlu jelaskan, juga dari segi bentuk dan nilai tambah yang perlu ada, sebelum sesuatu itu diambil kira sebagai Ali Baba,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial