EKONOMI > BERITA

Johor Port Terima Pengiktirafan Pada Anugerah Jenama Majikan Terbaik Asia 2024

15/11/2024 03:52 PM

JOHOR BAHRU, 15 Nov (Bernama) -- Johor Port Bhd (Johor Port), ahli Kumpulan MMC dianugerahkan penghormatan tertinggi pada Majlis Anugerah Jenama Majikan Terbaik Asia 2024 yang berlangsung di Singapura pada 6 Nov lepas.

Johor Port berkata pengiktirafan itu membuktikan komitmen berterusannya untuk membimbing bakat menerusi pemerkasaan budaya di tempat kerja yang inklusif, merangsang pertumbuhan dan menetapkan penanda aras untuk kecemerlangan majikan di rantau ini.  

“Anugerah Jenama Majikan Terbaik Asia 2024 itu adalah bagi mengiktiraf usaha Johor Port melaksanakan amalan sumber manusia dalam industri dengan memberi fokus kepada usaha mewujudkan persekitaran yang memotivasi dan menyokong pekerjanya untuk mencapai potensi tertinggi,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Md Derick Basir berkata anugerah itu mengiktiraf komitmen Johor Port membina persekitaran kerja yang menyokong, inklusif, dinamik dan mengutamakan pembangunan, kesejahteraan dan pertumbuhan kerjaya pekerja, selain mengukuhkan kedudukannya sebagai majikan terkemuka di Asia.

“Pengiktirafan ini mengukuhkan komitmen Johor Port untuk melaksanakan pendekatan mengutamakan rakyat dalam semua aspek operasi kami.

“Kami percaya pelaburan ke atas pekerja dan mewujudkan persekitaran yang menyokong bukan hanya memperkasa kekuatan organisasi tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan serta perkembangan landskap bakat di rantau ini,” katanya.

Acara tahunan itu adalah anjuran World HRD Congress dengan sokongan strategik daripada CHRO Asia, iaitu Platform Global bagi Ketua Sumber Manusia serta Persekutuan Profesional Sumber Manusia Dunia.

Anugerah itu diadakan bertujuan untuk menghargai organisasi yang mengutamakan pembabitan pekerja, pengurusan bakat berkesan dan amalan sumber manusia yang cemerlang sejajar dengan matlamat perniagaan strategik.

Johor Port adalah pengendali kemudahan pelabuhan pelbagai guna bersepadu di Pasir Gudang dengan jumlah keluasan keseluruhan kira-kira 404.68 hektar dan daripada jumlah itu 267.09 hektar adalah zon bebas.

 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan