KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Anak syarikat Meta Bright Group Bhd (MBGB) yang dimiliki sebanyak 70 peratus, Expogaya Sdn Bhd (Expogaya) memperoleh kontrak pembekalan konkrit bernilai kira-kira RM60 juta daripada Megamas Jaya Sdn Bhd (Megamas Jaya).
MBGB dalam satu kenyataan hari ini berkata Expogaya akan membekalkan konkrit siap bancuh kepada Megamas Jaya dan wakil perolehan yang dilantiknya, Pembekal Mewah Enterprise Sdn Bhd untuk projek pembangunan bercampur 88 Avenue di Kota Kinabalu, Sabah.
"Pembangunan berprofil tinggi ini yang terletak di daerah perniagaan utama Kepayan, dijangka menjadi destinasi ikonik.
"Projek berkenaan meliputi unit kediaman, kediaman perkhidmatan serta premis runcit selain akan memberi manfaat daripada kedudukannya, berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah yang memenuhi permintaan tempatan dan antarabangsa," katanya.
Seiring dengan Malaysia maju ke arah infrastruktur dan ekonomi yang bercita-cita tinggi, MBGB berkata ia kekal memberi tumpuan untuk meraih peluang dalam landskap negara yang sedang berkembang.
Katanya, pihaknya juga menekankan mengenai ketahanan kumpulan dan strategi pertumbuhan yang berpandangan ke hadapan selaras dengan agenda pembangunannya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Perancangan Korporat dan Strategik MBGB Derek Phang Kiew Lim berkata kontrak yang dimeterai dengan Megamas Jaya ini akan mengukuhkan kedudukan syarikat dalam industri pembekalan konkrit di Sabah.
Beliau berkata ia juga merupakan bukti kepakaran operasi Expogaya dan komitmennya dalam menyokong projek pembangunan transformatif seperti 88 Avenue.
"Sebagai pembekal konkrit siap bancuh terbesar di rantau ini, kami berbangga dapat menyumbang kepada pertumbuhan infrastruktur yang penting untuk peluasan ekonomi Sabah yang berterusan," katanya.
Dalam satu kenyataan berasingan, syarikat itu berkata kontrak itu dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan kumpulan pada masa hadapan atau sepanjang tempoh kontrak berkenaan.
"Pembekal dan pelanggan bersetuju kontrak ini akan berkuat kuasa bermula dari tarikh kontrak dan akan berterusan selama tempoh lima tahun," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial