EKONOMI > BERITA

Penduduk, Peniaga Daerah Yan Digalakkan Guna e-Duit Mudahkan Urusan Kewangan

16/11/2024 08:44 PM

YAN, 16 Nov (Bernama) -- Penduduk dan peniaga di daerah Yan digalakkan melakukan aktiviti jual beli menggunakan pembayaran secara elektronik atau tanpa tunai bagi memudahkan urusan kewangan seharian serta menjadikan hidup lebih mudah dan cekap.

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Marzunisham Omar berkata ia juga selari dengan penggunaan e-pembayaran di negara ini yang menunjukkan peningkatan, terutama apabila rakyat melakukan 11.5 bilion transaksi pada 2023 berbanding 9.3 bilion pada 2022, peningkatan sebanyak 24 peratus.

“Bagi meningkatkan kesedaran dan membina keyakinan orang ramai seterusnya menggalakkan lagi penggunaan e-pembayaran, program pendidikan kewangan seperti program e-Duit Desa telah diperkenalkan pada 2020 untuk membantu masyarakat luar bandar menggunakan kaedah ini dengan lebih selamat, senang dan segera (3S).

“Semoga inisiatif e-Duit Desa di Yan ini menjadi pemangkin kepada penggunaan e-pembayaran dalam kehidupan seharian penduduk di daerah ini. Saya juga dimaklumkan hampir kesemua jabatan dan agensi di Kedah telah menawarkan platform e-pembayaran,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program e-Duit Desa Yan hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Seri Norizan Khazali dan Pegawai Daerah Yan Maznim Ismail.

Beliau berkata e-pembayaran telah mengubah cara rakyat menjalankan urusan kewangan seharian dan menjadikan hidup lebih mudah serta cekap bagaimanapun ia boleh menimbulkan risiko seperti penipuan kewangan jika tidak disertai dengan amalan keselamatan yang baik.

“Kita perlu berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa penipuan kewangan dalam talian ataupun mangsa scam. Saya ingin mengingatkan orang ramai mengenai langkah-langkah mengelakkan diri menjadi mangsa penipuan kewangan dengan mengamalkan konsep soal, sekat dan sebar.

“Tetapi sekiranya masih menjadi mangsa penipuan kewangan, buat aduan kepada pihak institusi perbankan atau Pusat Respons Scam Kebangsaan melalui talian 997 secepat mungkin. Aduan yang cepat dapat membantu menghalang wang yang dicuri dipindahkan keluar daripada sistem kewangan sekali gus meningkatkan peluang untuk wang dikembalikan kepada mangsa penipuan,” katanya.

Marzunisham berkata pihak BNM dan industri kewangan sentiasa komited  memastikan sistem kewangan kekal selamat melalui penambahbaikan ciri-ciri keselamatan, dan program kesedaran yang berterusan sebagai langkah meyakinkan orang ramai terus menggunakan e-pembayaran.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan