EKONOMI > BERITA

BKIP 3 Terima Minat Penyertaan Daripada Pelabur - InvestPenang

17/11/2024 12:30 PM

Oleh Farhana Poniman

GEORGE TOWN, 17 Nov (Bernama) -- Taman Perindustrian Batu Kawan 3 (BKIP 3) Pulau Pinang menerima rancangan penyertaan yang memberangsangkan daripada kalangan pelabur yang berminat.

Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang Datuk Loo Lee Lian berkata taman perindustrian baharu itu akan dibangunkan dalam lima fasa seluas 164.7 hektar, dengan fasa pertama dijangka siap pada 2026.

“Usaha pemasaran BKIP 3 dimulakan pada Februari 2024 selepas majlis pecah tanahn dan sejak itu, kami telah menerima hasrat permohonan yang baik daripada pelabur yang berminat.

“Ketika ini, pembangunannya berada di landasan untuk penyiapan semua fasa, yang dijadualkan pada akhir 2028 dan kami juga sedang dalam proses menawarkan kawasan itu kepada bakal pelabur,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata BKIP 3 secara strategik berada dalam ekosistem kukuh dan mendapat manfaat daripada jarak yang berhampiran dengan taman perindustrian lain yang pesat.

Ia terletak berhampiran Taman Perindustrian Batu Kawan, dengan pembangunan lebih sedekad, serta Taman Sains Pulau Pinang, hab matang yang mencatatkan pertumbuhan lebih 15 tahun, katanya.

Loo berkata bakal pelabur juga boleh mendapat manfaat daripada kesalinghubungan yang sangat baik di Semenanjung Malaysia memandangkan BKIP 3 terletak hanya dua kilometer dari Lebuhraya Utara-Selatan.

“Memandangkan kawasannya luas tersedia dalam pelbagai saiz plot, BKIP 3 boleh menampung permintaan pelabur dari segi plot, seterusnya meningkatkan daya tarikannya sebagai destinasi pelaburan yang ideal.

“Perbandaran dan sekolah yang diwujudkan juga berada di sekitarnya, menyediakan kemudahan penting dan asas pendidikan bagi tenaga kerja,” katanya.

Loo berkata BKIP 3 dijangka menarik pelaburan tempatan dan asing yang strategik, membawa kepada peningkatan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, sekali gus turut memberikan manfaat kepada masyarakat tempatan melalui kadar pekerjaan lebih tinggi dan pendapatan isi rumah yang lebih baik.

Selain itu, beliau berkata syarikat tempatan akan mendapat manfaat daripada limpahan ekonomi melalui penyediaan penyelesaian industri kepada syarikat multinasional di negeri ini.

“Projek ini dijangka memacu penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan awam, meliputi jalan raya yang lebih baik dan trafik lebih lancar, memberikan manfaat kepada wilayah utara Semenanjung Malaysia dan meningkatkan kualiti hidup penduduk Pulau Pinang.

“Memandangkan kalangan syarikat ini membawa masuk teknologi dan kepakaran baharu, akan ada peluang berharga untuk pemindahan pengetahuan dan pembangunan kemahiran,” katanya.

Perkara itu sekali gus mengukuhkan kumpulan bakat Pulau Pinang dan menjadikan negeri ini memiliki daya saing yang berterusan dalam pasaran global, katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan