EKONOMI > BERITA

Callabio Manufacturing Jangka Peroleh Potensi Jualan Lebih RM50 Juta

20/11/2024 09:55 AM

Daripada Zarul Effendi Razali

DUBAI, 19 Nov (Bernama) -- Callabio Manufacturing Sdn Bhd, syarikat pengeluar sirap kopi (coffee-syrup) yang berpangkalan di Malaysia menjangkakan potensi jualan lebih RM50 juta menerusi Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) di pameran MIHAS@Dubai 2024.

Pemiliknya Mohamad Shahir Mohamad Suhaimi berkata sepanjang program INSP, syarikatnya menerima banyak tawaran daripada pembeli yang berpangkalan di Dubai dan di tempat-tempat lain dengan bantuan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

"MATRADE banyak membantu kami untuk berjumpa dengan pembeli yang betul. Sepanjang INSP, kami dapat banyak pembeli yang berpotensi dari Dubai dan banyak yang berminat dengan produk kami.

"Produk kami merupakan produk sirap kopi yang tidak memiliki pesaing yang ramai dan mendapat permintaan yang tinggi. Kita juga sudah menandatangani beberapa perjanjian persefahaman (MoU) dengan syarikat dari Dubai, India dan Amerika Syarikat," katanya kepada Bernama di sela pameran MIHAS@Dubai 2024 di sini, hari ini.

Bagi hari pertama pameran, Beliau berkata Callabio telah mencatatkan potensi eksport sebanyak RM16 juta manakala setakat hari ini, lebih daripada 30 syarikat menunjukkan minat terhadap produk mereka dengan potensi jualan dianggarkan melebihi RM40 juta.

"Program INSP oleh MATRADE banyak membantu usahawan bumiputera tempatan untuk mengembangkan produk mereka ke peringkat antarabangsa. 

"Ini adalah satu program yang sangat bagus bagi usahawan di Malaysia dan saya harap MATRADE dapat meneruskan program-program seperti ini dan mengembangkan MIHAS ke negara-negara lain," katanya.

Inisiatif INSP ialah platform strategik yang menghubungkan pengeksport Malaysia dengan pembeli-pembeli antarabangsa yang memupuk peluang-peluang rangkaian dan perbincangan perdagangan yang bernilai.

Melalui inisiatif itu, syarikat yang mengambil bahagian berpeluang untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan unik mereka yang diperakui halal secara terus kepada bakal rakan kongsi dari seluruh dunia.

Dengan menyepadukan INSP ke dalam MIHAS@Dubai, MATRADE mengukuhkan komitmennya untuk menyokong perniagaan Malaysia dalam membina rangkaian antarabangsa yang teguh, yang penting bagi pertumbuhan mampan dan pengembangan sektor halal dalam pasaran global.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan