EKONOMI > BERITA

Permodalan Pasaran Ekuiti Meningkat Bukti Pemulihan Ekonomi Malaysia - PM Anwar

20/11/2024 02:18 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Peningkatan permodalan pasaran ekuiti Malaysia tahun ini, yang melepasi RM2 trilion, adalah bukti pemulihan ekonomi negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, turut memuji Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia atas usaha berterusan mereka dalam memastikan pasaran modal berkembang maju dan kekal menarik kepada pelabur.

“Teras untuk mengekalkan keyakinan ini ialah rangka kerja kawal selia yang teguh yang mengekalkan pasaran yang adil dan teratur, dengan pelbagai peluang pengumpulan dana dan pelaburan merentas ekuiti, derivatif, bon dan sukuk.

“Dalam evolusi dan usaha berterusan untuk mencapai pasaran modal yang dinamik, penting untuk menyedari bahawa kalangan peneraju pasaran modal berperanan penting dalam membentuk hala tuju perniagaan dan masyarakat,” kata beliau dalam ucapan khas di Perhimpunan Agung dan Mesyuarat Tahunan Persekutuan Bursa Dunia (WFE) ke-63 di sini, pada Rabu.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Pengerusi WFE, Loh Boon Chye.

WFE ialah persatuan industri global untuk bursa dan firma penjelasan.

Anwar berkata peningkatan penyertaan pelabur runcit akan menjadikan pelaburan ekuiti sebagai sumber penciptaan kekayaan yang lebih lazim -- sejajar dengan visi Ekonomi MADANI untuk memberikan peluang yang adil dan setara kepada semua sektor.

“Ini seterusnya juga akan meningkatkan kecairan dan kedinamikan pasaran, membawa kerancakan dan minat baharu untuk semua meraih manfaat,” kata beliau.

Di samping itu, Perdana Menteri berkata pasaran modal global yang semakin saling terhubung membawa peluang dan risiko, manakala perdagangan rentas sempadan, pelbagai sistem kawal selia dan turun naik ketara pasaran memerlukan tindak balas global yang selaras.

“Saya berharap acara ini (Perhimpunan Agung dan Mesyuarat Tahunan WFE ke-63) akan membantu memupuk kerjasama dalam kalangan bursa dunia -- untuk mengurangkan sebarang risiko global dan sistemik yang timbul susulan peningkatan kesalinghubungan, dan untuk memastikan pendanaan tersedia bagi projek pembangunan mampan jangka masa panjang,” kata beliau.

Anwar juga berkata agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) semakin membentuk ekonomi dunia dan pasaran modal.

“Oleh yang demikian, kalangan bursa berperanan penting dalam mempromosikan pendedahan ESG, menggalakkan syarikat untuk mengamalkan amalan mampan, dan menyokong peralihan ke arah ekonomi hijau.

“Di Malaysia, Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Kebangsaan (NSRF) yang diumumkan baru-baru ini menetapkan piawaian asas untuk kemampanan, sejajar dengan Piawaian Pendedahan Kemampanan IFRS, membuka laluan ke hadapan yang jelas untuk pelaporan kemampanan oleh syarikat senaraian awam dan tidak tersenarai,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan