EKONOMI > BERITA

Bank Rakyat Terbit Sukuk SRI Kemampanan ASEAN Berjumlah RM500 Juta

21/11/2024 04:13 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat), melalui Imtiaz Sukuk II Bhd telah menerbitkan Sukuk SRI (Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab) ASEAN sulungnya berjumlah RM500 juta.

Penerbitan tersebut berdasarkan prinsip Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar, daripada Program Sukuk Wakalah Bank Rakyat sedia ada bernilai RM10 bilion.

Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) merupakan pengurus utama bersama dan ejen kemudahan, manakala Maybank Islamic Bhd adalah penasihat Syariah untuk terbitan ini.

Bank Rakyat serta Maybank IB melalui satu kenyataan bersama hari ini menjelaskan MARC Ratings Bhd telah memperuntukkan Penilaian Bon Impak “Emas” tertinggi bagi Rangka Kerja Sukuk Kemampanan (rangka kerja) Bank Rakyat itu, yang menentukan pembiayaan mampan masa depan bank yang dikumpulkan di bawah format penggunaan perolehan.

“Rangka kerja ini diselaraskan dengan komponen teras standard bon hijau/sosial/mampan ASEAN yang dikeluarkan oleh forum pasaran modal ASEAN dan Rangka Kerja Sukuk SRI yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia,” kata kenyataan itu

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maybank IB, Michael Oh-Lau berkata Sukuk SRI Kemampanan ASEAN Bank Rakyat telah menarik minat yang luar biasa daripada pelbagai pelabur termasuk institusi kewangan, agensi kerajaan, syarikat insurans serta firma pengurusan aset.

“Tawaran kemampanan menarik minat pelabur memandangkan ia agak jarang ada selain tumpuan yang semakin meningkat terhadap pelaburan kemampanan.

“Mulai 2021 hingga Jun 2024, Kumpulan Maybank telah menggerakkan RM83.2 bilion dalam kewangan mampan, melebihi sasaran 2025 kami sebanyak RM80 bilion, sebagai sebahagian daripada komitmen kemampanan kami,” katanya.

Pemangku CEO Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata hasil yang diperoleh daripada sukuk itu akan digunakan untuk membiayai projek yang menyumbang kepada faedah alam sekitar dan sosial seperti yang digariskan dalam rangka kerja bank koperasi itu.

“Usaha ini akan menyokong lagi objektif bank dalam mengembangkan portfolio pembiayaan hijau dan sosial kami sambil memperkukuh peranan kami sebagai salah satu penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara,” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan