EKONOMI > BERITA

Topvision Yang Bakal Ke Pasaran ACE Sasar Kumpul RM17.89 Juta Melalui IPO

25/11/2024 05:19 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Topvision Eye Specialist Bhd (Topvision) yang akan memindahkan penyenaraiannya dari Pasaran LEAP ke Pasaran ACE Bursa Malaysia menyasarkan untuk mengumpul RM17.89 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO).

Berharga 33 sen sesaham, pelaksanaan itu dijadualkan pada 16 Dis, 2024.

Pasaran LEAP ialah pasaran yang dipacu oleh penasihat dan hanya boleh diakses oleh pelabur yang berpengetahuan tinggi.

Penyedia perkhidmatan perubatan penjagaan mata itu berkata, daripada jumlah tersebut, RM7.9 juta akan diperuntukkan untuk penubuhan Topvision International Eye Specialist Centre di Lembah Klang, sebuah pusat penjagaan ambulatori (ACC) peringkat tertiari dengan perkhidmatan subkepakaran seperti pembedahan retina, pemindahan kornea dan oftalmologi pediatrik.

Ia berkata RM5 juta akan digunakan untuk mengembangkan rangkaian ACC dengan pembukaan pusat baharu di Kuala Terengganu dan Tawau, Sabah bagi memperluaskan kehadiran syarikat.

"Syarikat akan memperuntukkan RM0.50 juta untuk membeli mesin termasuk mesin fakoemulsifikasi, bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan di seluruh rangkaian Topvision dan RM4.5 juta akan digunakan untuk perbelanjaan penyenaraian," kata syarikat itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutifnya Dr. Peter Chong Kuok Siong berkata pemindahan penyenaraian ini bukan sahaja mempercepatkan pertumbuhannya tetapi juga menegaskan komitmen syarikat untuk memajukan penjagaan kesihatan mata di seluruh Malaysia.

"Dengan dana yang dikumpul, kami akan mengembangkan rangkaian ACC kami, menubuhkan Topvision International dan melabur dalam mesin-mesin baharu.

"Penyenaraian ini mencerminkan dedikasi kami terhadap pertumbuhan yang mampan, kecemerlangan klinikal dan misi syarikat untuk meningkatkan kualiti hidup pesakit," katanya semasa pelancaran prospektus syarikat di sini hari ini.

Mengenai rancangan pengembangannya, Chong berkata, pihaknya akan memulakan operasi di Terengganu pada suku kedua 2025 manakala ACC di Sabah dijangka memulakan operasinya pada suku keempat 2025.

"Penubuhan Topvision International Eye Specialist Centre di Petaling Jaya telah mencapai 90 peratus siap, oleh itu kami berhasrat untuk memulakan operasi di sana pada suku kedua 2025 juga," katanya pada sidang media.

Dalam pada itu, Topvision berkata, tawaran awam itu akan melibatkan terbitan 54.22 juta saham biasa baharu.

Permohonan untuk terbitan awam dibuka mulai hari ini sehingga 3 Dis, 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan