EKONOMI > BERITA

PM Anwar Pelawa Pelabur Korea Selatan Teroka Pelbagai Peluang Di Malaysia

25/11/2024 08:38 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan penglibatan pelabur dari Korea Selatan untuk meneroka pelbagai peluang di Malaysia selain menjalin kerjasama dalam usaha melonjakkan serta mencapai kesejahteraan bersama.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau telah bertemu dengan beberapa ketua pengarah eksekutif pada sesi "C-Suite Insight Session" selain berucap pada Forum Perniagaan Malaysia-Korea Selatan 2024 selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Yoon Suk Yeol di sini, hari ini.

"Pertemuan ini memberi penekanan pada aspek hubungan erat antara Malaysia dan Korea Selatan, selain melonjak komitmen kami terhadap inovasi dan pertumbuhan yang mampan," kata Anwar dalam hantaran di akaun media sosial X beliau hari ini.

Anwar dan delegasi tiba di sini semalam bersempena lawatan rasmi tiga hari sehingga 26 November bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala sedia ada antara Malaysia dan Korea Selatan.

Kedua-dua negara itu juga bakal menyambut ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik pada tahun depan.

Menyentuh ucapan beliau pada forum tersebut, Anwar berkata ini membabitkan usaha mengalu-alukan kehadiran lebih 200 peserta yang mewakili 147 syarikat Korea Selatan dari pelbagai sektor, termasuk semikonduktor, kenderaan elektrik, teknologi hijau dan kecerdasan buatan (AI).

“Dalam ruang yang sama, saya telah berkongsi kebijakan Malaysia di bawah kerangka Ekonomi MADANI yang didukung oleh inisiatif seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, dan Pelan Strategik Semikonduktor," kata beliau.

Perdana Menteri juga menyifatkan Platform C-Suite sebagai memberi ruang untuk Malaysia berbincang secara terus dengan barisan penggiat syarikat terkemuka Korea Selatan seperti Samsung, SIMMTECH, Poongsan Corporation, Lotte Energy Materials dan Kumho Petrochemical.

Anwar berkata syarikat-syarikat berkenaan juga telah berkongsi rancangan mereka untuk Malaysia, termasuk pelaburan dalam sektor semikonduktor, tenaga boleh baharu, pemprosesan nadir bumi dan industri halal. 

"Komitmen mereka terhadap Malaysia sangat mengujakan dan mempamerkan keyakinan terhadap kestabilan Malaysia, selain dasar dan sebagai destinasi pelaburan yang strategik,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan