EKONOMI > BERITA

PETRA Sedia Teroka Teknologi Baharu Untuk Penjanaan Elektrik

25/11/2024 09:12 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) terbuka untuk meneroka penggunaan teknologi baharu bagi penjanaan elektrik sebagai usaha mencapai aspirasi pelepasan karbon sifar bersih seawal tahun 2050.

Timbalan Menterinya Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata antara teknologi yang dipertimbangkan ialah sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), penyimpanan pam hidro, teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) serta teknologi nuklear termasuk reaktor modular kecil (SMR) serta reaktor konvensional berskala besar.

“Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif bilangan 2/2024 pada 21 November lepas bersetuju memasukkan BESS dan penyimpanan pam hidro sebagai sebahagian daripada sumber penjanaan elektrik di Semenanjung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatan kuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Pada masa yang sama, kementerian itu terus mempergiatkan pelaksanaan program-program Tenaga Boleh Baharu (TBB) termasuk program tarif galakan (FiT), Pemeteran Tenaga Bersih (NEM), Penggunaan Sendiri Pemasangan PV Solar (SELCO), Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) dan Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRES) bagi mencapai sasaran kapasiti terpasang TBB sebanyak 70 peratus, katanya.

Menyentuh mengenai ketidakseimbangan pelepasan kos bahan api (ICPT), Akmal Nasrullah berkata kerajaan sentiasa memantau perubahan harga bahan api untuk penjanaan elektrik melalui mekanisme berkenaan, setiap enam bulan.

"Ketika ini kenaikan harga bahan api menyebabkan surcaj perlu dikenakan kepada semua pengguna elektrik di Semenanjung sepanjang tahun ini, namun kerajaan beri subsidi kepada pengguna domestik di bawah secara bersasar apabila pengguna di bawah 600 kilowatt sejam (kWj) masih menerima rebat sungguhpun pengguna sepatutnya dikenakan surcaj.

"Manakala pengguna 601 hingga 1,500 kWj tidak dikenakan surcaj atau rebat dan pengguna melebihi 1,500 kWj perlu membayar surcaj terhadap tarif elektrik masing-masing," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata kerajaan melalui kaedah tersebut memberi subsidi bagi menampung surcaj berkenaan tetapi ia tidak dimasukkan dalam Belanjawan 2025.

Berhubung penggunaan elektrik bagi pusat data, Akmal Nasrullah berkata unjuran keperluan bekalan elektrik bagi pusat data adalah sebanyak 12.9 gigawatt (GW) pada tahun 2030 dan dijangka meningkat sehingga 20.9 GW menjelang 2040. 

Katanya, unjuran itu dibuat berdasarkan data daripada pihak Tenaga Nasional Bhd (TNB) iaitu sehingga 30 Sept, 2024 sebanyak 101 permohonan daripada pusat data dengan keperluan tenaga sebanyak 19,916 megawatt diterima oleh pihak TNB.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 17 projek pusat data dengan keperluan bekalan elektrik sebanyak 1,694 megawatt telah pun siap.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan