EKONOMI > BERITA

Keuntungan Bersih Suku Pertama IOI Properties Susut Kepada RM69.17 Juta

25/11/2024 09:32 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih IOI Properties Group Bhd susut kepada RM69.17 juta menjelang suku pertama berakhir 30 Sept 2024 daripada RM174.45 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Pemaju hartanah itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini turut mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM133.7 juta, turun 41 peratus berbanding RM225.5 juta sebelumnya disebabkan oleh perbelanjaan faedah yang lebih tinggi berikutan penyiapan Menara Boulevard Pusat IOI sejak April 2024.

Perolehan bagi suku tersebut, bagaimanapun, meningkat enam peratus kepada RM687.85 juta daripada RM648.05 juta tahun sebelumnya disebabkan lonjakan prestasi dalam segmen pelaburan hartanah serta segmen hospitaliti dan percutian.

Segmen pelaburan hartanah merekodkan hasil serta keuntungan operasi masing-masing berjumlah RM218.7 juta dan RM133.4 juta bagi suku tahun semasa.

“Ini menandakan kenaikan masing-masing sebanyak RM74.4 juta atau 52 peratus dan RM61.8 juta atau 86 peratus, lebih baik berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.

“Perolehan dalam segmen hospitaliti dan riadah meningkat kepada RM110.7 juta daripada RM48.8 juta, selepas didorong oleh sumbangan daripada W Kuala Lumpur yang baru diperoleh termasuk pembukaan Hotel Moxy pada Februari 2024 dan Courtyard By Marriott Penang yang diambil alih pada Julai 2024,” katanya.

IOI Properties ketika mengulas mengenai prospek menjangkakan prestasi kewangan bagi tahun ini kekal memuaskan, disokong oleh penawaran kepelbagaian produknya di tiga negara, selain aliran pendapatan berulang yang besar daripada portfolio pelaburan hartanah yang mantap serta unjuran positif dalam segmen hospitaliti dan percutian.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Lee Yeow Seng melalui satu kenyataan berasingan berkata kumpulan itu akan terus memantau pasaran dan membuat pelancaran secara strategik berdasarkan masa yang sesuai untuk mencapai kadar pengambilan yang baik dan mengekalkan pendapatan.

Selain itu, beliau berkata usaha bersepadu kumpulan itu untuk membersihkan inventori yang telah siap telah menghasilkan pengurangan selanjutnya sebanyak RM179.9 juta, menjadikan inventori yang telah siap turun kepada RM1.74 bilion, yang sebahagiannya disebabkan oleh pelarasan pertukaran asing bagi inventori telah siap dalam Republik Rakyat China.

“Ini membolehkan pengewangan segera ke dalam aliran tunai untuk menyokong komitmen modal berterusan dan keperluan modal kerja kumpulan.

“Kami tetap fokus untuk mengurangkan lagi inventori yang telah siap dengan memposisikan produk secara strategik dan kempen jualan promosi,” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan