EKONOMI > BERITA

Untung Bersih MBSB Meningkat Kepada RM122.08 Juta Pada Suku Ketiga

26/11/2024 08:17 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- MBSB Bhd (MBSB) mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM122.08 juta pada suku ketiga yang berakhir 30 Sept, 2024 berbanding RM32.84 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

MBSB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata perolehan kumpulan meningkat kepada RM947.50 juta berbanding RM746.20 juta sebelumnya disebabkan oleh peningkatan pendapatan pembiayaan dan sumbangan daripada penggabungan dengan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF).

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024, keuntungan bersih MBSB meningkat kepada RM255.26 juta berbanding RM190.66 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas manakala perolehan naik kepada RM2.80 bilion dalam tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2024 berbanding RM2.12 bilion sebelumnya.

"Pertumbuhan (dalam perolehan) ini didorong oleh gabungan pendapatan yang dibiayai dan tidak dibiayai, apabila pendapatan dibiayai mencapai RM1.1 bilion, peningkatan sebanyak RM298 juta berbanding tahun sebelumnya, disokong oleh pendapatan pembiayaan dan pendapatan perbendaharaan yang lebih tinggi.

“Sementara itu, pendapatan tidak dibiayai mencatatkan peningkatan ketara kepada RM145 juta, meningkat daripada RM37 juta, disumbangkan oleh penambahbaikan dalam perkhidmatan penasihat, pendapatan yuran, keuntungan daripada pelaburan kewangan dan sumbangan daripada MIDF,” katanya.

Bagi prospek masa depan, MBSB menjangkakan strategi "Flight26" mereka yang memberi tumpuan kepada peningkatan akaun semasa dan simpanan, pengembangan pembiayaan, meningkatkan pendapatan tidak dibiayai, mengoptimumkan nisbah kos kepada hasil dan meningkatkan pulangan ke atas ekuiti.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rafe Haneef berkata pertumbuhan dalam perolehan dan keuntungan menunjukkan bahawa tumpuan mereka untuk mengoptimumkan penyata kewangan dan menguruskan kos berada di landasan yang betul.

"Melangkah ke hadapan, kami menyasarkan untuk membina momentum ini, memastikan kami terus komited untuk menawarkan penyelesaian kewangan yang inovatif dan berfokuskan pelanggan, sambil mengekalkan asas yang kukuh," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan