EKONOMI > BERITA

Tropicana Catat Kerugian Bersih RM454.93 Juta Pada Suku Ketiga Tahun Ini

27/11/2024 11:21 PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Kerugian bersih Tropicana Corporation Bhd (Tropicana) melonjak kepada RM454.93 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept 2024 berbanding RM10.34 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lepas.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata penurunan keuntungan disebabkan terutamanya oleh kerugian sekali sahaja yang wujud daripada cadangan pelupusan hartanah pelaburan dan tiga bidang tanah pembangunan dengan nilai keseluruhan RM891.6 juta.

“Cadangan pelupusan ini mewujudkan kerugian boleh dijangka sebanyak RM474.8 juta, mendorong kepada keputusan kewangan yang lebih rendah pada suku tahun ini berbanding suku tahun sama pada tahun sebelumnya.

“Peruntukan kerugian yang dijangka daripada pelupusan tanah itu akan diimbangi oleh penjimatan kos daripada obligasi perumahan kos rendah, yang akan diiktiraf secara progresif dalam tempoh lima tahun akan datang dan ini akan menyumbang kepada pendapatan masa depan kumpulan,” katanya.

Menurut Tropicana, perolehan pada suku ketiga menyusut 49.9 peratus kepada RM201.87 juta daripada RM402.76 juta sebelumnya, disebabkan pembayaran kemajuan yang rendah dalam projek utama di Lembah Klang, wilayah selatan dan utara.

“Kemerosotan perolehan ini turut disumbangkan oleh pertimbangan jualan yang rendah membabitkan pelupusan tanah pembangunan berbanding suku tahun sama pada tahun sebelumnya.

“Mengenai pelaburan hartanah, operasi resort dan rekreasi, tiada perolehan diraih daripada St. Joseph’s Institution International School Malaysia dan W Kuala Lumpur berikutan selesainya pelupusan pada September 2023 dan Januari lepas, yang menyebabkan hasil yang rendah,” katanya.

Bagi tempoh kewangan sembilan bulan berakhir 30 Sept 2024, kumpulan merekodkan hasil RM877.84 juta, iaitu RM246.2 juta atau 21.9 peratus lebih rendah berbanding RM1.12 bilion tahun lepas, berikutan ketiadaan hasil selepas selesai proses pelupusan pelaburan hartanah.

Mengenai prospek, Tropicana berkata ia akan terus memanfaatkan pelbagai inisiatif jualan dan kempen pemasaran untuk mendapat lebih banyak jualan, selain kekal yakin dan positif mengenai prospek jangka panjang perniagaan pembangunan hartanahnya.

“Selain itu, kumpulan akan terus membangunkan dan memasarkan hartanahnya di pelbagai lokasi strategik, yang seterusnya akan membantu meningkatkan jualan dan memberi sumbangan positif kepada pendapatan masa depannya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan