KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Malaysia akan kekal berkecuali dan bersedia menghadapi kemungkinan perubahan landskap ekonomi global susulan pemilihan semula Donald Trump memimpin Amerika Syarikat (AS).
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ini termasuk memberi fokus kepada “soft diplomacy” iaitu diplomasi lunak atau tanpa kekerasan sebagai salah satu pendekatan bersama terhadap pentadbiran baharu AS.
Pada masa sama, katanya, Malaysia perlu mengambil langkah berhati-hati dalam memastikan kepentingan ekonomi negara terus terjamin tanpa condong kepada mana-mana kuasa besar.
"Ini sesuatu yang perlu kita kaji, guna 'soft power diplomacy’ (iaitu) bagaimana untuk kita tidak dilihat sebagai negara yang terlampau condong kepada mana-mana pihak.
“Kita mahu Malaysia sentiasa berada di tengah-tengah dan mahu pandu ASEAN ke arah itu," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan daripada Senator Tan Sri Datuk Low Kian Chuan mengenai pendirian Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan dalam menempatkan perkumpulan itu dalam kedudukan kukuh dan berdepan ancaman kenaikan tarif.
Presiden Trump baru-baru ini mengancam untuk mengenakan tarif 100 peratus terhadap mana-mana negara BRICS yang disifatkan beliau sebagai cuba menggantikan penggunaan dolar AS dalam perdagangan antarabangsa.
Beliau juga menuntut negara-negara berkenaan untuk komited menggunakan dolar AS sebagai mata wang rizab mereka dan mengelak daripada mewujudkan mata wang BRICS baharu atau menyokong alternatif lain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial