EKONOMI > BERITA

Perodua Mahu Hasilkan 500 Unit EMO-II Sebulan, Sasar EV Termurah

04/12/2024 03:05 PM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) berhasrat mengeluarkan 500 unit kenderaan elektrik (EV) sebulan yang dikenali sebagai eMO-II bermula tahun depan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata model EV ini dijangka dijual pada harga antara RM50,000 dan RM90,000 seunit.

"Kami akan membuat pengumuman lanjut mengenai sistem pengecasannya kerana kami merancang untuk memiliki stesen pengecas EV setiap 40 hingga 50 kilometer, sama ada pengecas tetap atau pengecas mudah alih yang masih dalam kajian.

"Kami juga sedang melihat nilai penjualan semula, seperti yang saya sebutkan sebelum ini, kami ingin mengekalkan nilai kenderaan terpakai," katanya selepas memperkenalkan prototaip eMO-II EV di Pertunjukan Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (KLIMS 2024) di sini hari ini.

Zainal Abidin berkata Perodua berhasrat menghasilkan EV termurah di Malaysia memandangkan julat harga model baharu itu yang rendah tetapi kompetitif.

"Berdasarkan kajian kami, pada suku pertama 2025, syarikat EV lain yang kini menjual EV tidak akan dapat menjual pada harga yang lebih rendah (daripada kami) kerana ia mungkin menjejaskan perkara lain. Jadi bagi kami, kami masih berharap untuk menjual EV termurah di sekitar (Malaysia)," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata ia akan membantu Perodua menghasilkan EV pertama Malaysia yang dijual di bawah RM100,000.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kementeriannya optimis Perodua akan mencapai sasaran untuk menghasilkan EV tersebut menjelang akhir 2025.

Projek EV Perodua dibangunkan sepenuhnya secara dalaman oleh pasukan penyelidikan dan pembangunan pembuat kereta itu pada 2023.

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata prototaip eMO-II telah dipertingkatkan berbanding model sebelumnya iaitu dari segi reka bentuk dan ciri-ciri serta lebih terperinci seperti yang dirancang syarikat untuk masa depan EV.

"Sila ingat bahawa ini masih lagi model prototaip dan terdapat banyak lagi ciri-ciri serta penambahbaikan yang akan kami tambah pada produk siap kami, yang akan diperkenalkan dalam masa terdekat," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan